GEORGE TOWN - Empangan Air Itam mencatatkan paras air hampir penuh buat pertama kali dalam tempoh kira-kira empat tahun apabila mencapai kapasiti efektif 99.4 peratus pada 26 dan 27 Oktober lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir K Pathmanathan berkata, paras tersebut merupakan yang tertinggi direkodkan sejak 2 Disember 2021 apabila empangan itu mencapai 93.4 peratus.
Menurutnya, peningkatan mendadak paras air berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan tadahan air (KTA) empangan itu dengan jumlah taburan hujan sebanyak 526.5 milimeter direkodkan antara 1 September hingga 27 Oktober 2025.
"PBAPP kini memaksimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam ke Loji Rawatan Air Air Itam bagi pengeluaran air terawat.
"Pelepasan air akan ditingkatkan daripada kebiasaan 22 juta liter sehari (JLH) kepada maksimum 65 JLH apabila perlu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pathmanathan menjelaskan, langkah tersebut bagi mengelakkan lebihan air empangan dilepaskan terus ke laut melalui longkang atau sungai.
Katanya, pelepasan air tidak akan dilakukan ketika ribut atau hari hujan apabila paras air laut tinggi bagi meminimumkan risiko banjir di kawasan rendah berhampiran.
Dalam pada itu, beliau berkata, hujan yang berterusan sejak dua bulan kebelakangan ini turut membantu meningkatkan paras air empangan lain di Pulau Pinang ke tahap selesa.
Tambahnya, ramalan cuaca juga menunjukkan negeri itu dijangka menerima lebih banyak hujan sepanjang November 2025, sekali gus menjamin bekalan air yang mencukupi untuk tempoh mendatang.
Pathmanathan bagaimanapun memaklumkan bahawa Empangan Air Itam masih ditutup sementara kepada orang awam susulan kejadian tanah runtuh akibat ribut baru-baru ini.
"Penutupan ini merupakan langkah keselamatan awam sementara. PBAPP akan membuka semula kawasan itu sebagai lokasi rekreasi apabila keadaan kembali pulih," katanya.