50 kenderaan sita habis dilelong dalam dua jam

Iklan
Mohammad Yusoff (tengah) menunjukkan kenderaan sitaan yang berjaya dilelong menerusi Majlis Lelongan Awam pada Selasa.

IPOH - Hanya dalam tempoh dua jam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya menjual 50 kenderaan sitaan menerusi Majlis Lelongan Awam dengan kutipan keseluruhan RM60,750, pada Selasa.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, lelongan kali ini melibatkan pelbagai jenis kenderaan termasuk motosikal, kereta, van, lori dan kenderaan utiliti pelbagai guna (MUV) yang disita hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

"Daripada jumlah itu, 40 kenderaan boleh dilesenkan semula.

"Baki 10 lagi tidak boleh dilesenkan terdiri daripada lapan motosikal, sebuah lori dan sebuah MUV," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Iklan

Menurut beliau, lelongan kali ini menyaksikan bidaan tertinggi sebanyak RM11,000 bagi kereta Honda manakala bidaan terendah dicatat motosikal masing-masing RM50 untuk model Suzuki, SYM dan Demak yang dikategorikan sebagai kenderaan skrap tidak boleh dilesenkan.

"Secara keseluruhan, jumlah harga rizab yang ditetapkan bagi lelongan kali ini ialah RM46,450 dengan harga rizab tertinggi melibatkan lori sampah Hino bernilai RM8,800 dan rizab terendah RM50 untuk motosikal,” jelasnya.

Iklan

Mohammad Yusoff turut memaklumkan, sebanyak 76 buku lelongan dijual dengan kutipan RM5,320 melibatkan 52 orang pembida yang hadir bagi merebut peluang memiliki kenderaan sitaan pada harga berpatutan.

Mengulas mengenai proses sebelum lelongan, beliau berkata, setiap kenderaan melalui prosedur sitaan yang panjang termasuk pengesahan mahkamah dan penilaian pasaran bagi menentukan harga rizab.

“Selepas kenderaan disita, notis pertama akan dihantar kepada pemilik dalam tempoh sebulan. Jika tiada tuntutan, notis kedua dikeluarkan kepada pihak berkaitan seperti bank atau syarikat kredit.

“Untuk bulan ketiga, kita akan memohon lucut hak di mahkamah. Setelah diluluskan, barulah kenderaan disahkan untuk dijual secara sah melalui lelongan awam," ujarnya.