PENANG FC sedar mereka bakal berdepan cabaran getir apabila turun menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi timbal balik suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam ini.
Selepas tewas tipis 1-2 kepada Harimau Selatan dalam aksi pertama di Stadium Bandaraya pada 17 Oktober lalu, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu kini membawa misi besar untuk cuba mencipta kejutan di gelanggang lawan, sesuatu yang diakui bukan mudah dilakukan.
Iklan
Iklan
Menurut Wan Rohaimi, beliau amat menghormati kehebatan pasukan bimbingan Xisco Munoz itu yang mempunyai kualiti menyeluruh di setiap posisi, namun tetap mahu anak-anak buahnya turun dengan semangat juang tinggi untuk memberikan tentangan terbaik.
“Satu lagi perlawanan yang sukar untuk kami. Ketinggalan 1-2 dan bermain di SSI bukan tugas mudah.
“Saya harap momentum yang kami dapat selepas mengikat Kuching City dalam aksi Liga Super dapat diteruskan. Sekurang-kurangnya, kami mampu menyaingi JDT sepanjang 90 minit,” katanya.
Penang kini menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa perlawanan terakhir Liga Super apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan serta mencatat keputusan seri menentang Kuching City FC.
Situasi itu dilihat menyuntik keyakinan kepada skuad Harimau Kumbang untuk tampil lebih yakin walaupun sedar mereka bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong JDT di SSI.