SHAH ALAM – Pemaju hartanah pilihan rakyat, LBS Bina Group Berhad (LBS), menandatangani dua Perjanjian Usahasama (JVA) dengan Oriental Holdings Berhad (OHB) bagi pembangunan Fasa 1A dan 1B projek bercampur di Klebang, Melaka.
Majlis menandatangani rasmi yang diadakan hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama antara kedua-dua syarikat, sekali gus membuka lembaran baharu bagi pelaksanaan fasa pertama projek tersebut.
Perjanjian berkenaan merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 15 Mei 2025, mengukuhkan lagi perkongsian strategik antara LBS dan OHB.
Bagi fasa pertama, pembangunan melibatkan tanah komersial utama seluas 54.75 ekar, dibahagikan kepada Fasa 1A dan Fasa 1B, masing-masing meliputi kawasan seluas kira-kira 27 ekar. Kedua-dua sub-fasa itu akan menampilkan pelbagai unit komersial individu, selain potensi pembangunan unit kediaman.
Pelancaran fasa pertama dijadualkan berlangsung pada tahun 2027.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, berkata projek berkenaan dijangka menjadi destinasi komersial unggul yang berpotensi menarik pelbagai aktiviti ekonomi dan pelaburan baharu ke negeri Melaka.
“Fasa pertama projek ini dijangka menjadi destinasi komersial yang unggul. Kedudukannya yang strategik menawarkan pendedahan pasaran yang luas serta akses yang mudah menjadikannya tarikan bagi aktiviti perniagaan dan kunjungan orang ramai.
"Kerjasama ini turut mewujudkan sinergi dengan projek penambakan dan pembangunan Kumpulan di Tanjung Bruas, memandangkan kedua-duanya terletak dalam Zon Ekonomi Pinggir Laut Selat Melaka. Gabungan kedua-dua pembangunan ini akan memperkukuh kedudukan LBS di pesisir Melaka, sekali gus membuka peluang baharu dalam segmen logistik, industri dan komersial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerjasama strategik antara LBS dan OHB mencerminkan visi bersama dalam menjana nilai jangka panjang serta memacu pembangunan serantau secara mampan.
“Dengan menggabungkan kekuatan, kepakaran dan sumber kedua-dua pihak, kami berhasrat untuk menyumbang kepada transformasi Melaka sebagai destinasi perniagaan dan gaya hidup yang maju serta berdaya saing,” katanya.