Penunggang motosikal maut angkara pemandu warga Singapura buat pusingan u

Iklan
Seorang pekerja Pelabuhan Kuantan maut selepas terlibat kemalangan dengan MPV di hadapan Warung Sara Tomyam, Chendor, Jalan Kuantan - Kemaman di sini, petang Ahad. Foto Polis Trafik Kuantan.

KUANTAN - Seorang pekerja Pelabuhan Kuantan maut selepas terlibat kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Warung Sara Tomyam, Chendor, di sini, petang Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Muhammad Azamie Mohamad, 22, yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati MPV jenis Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki warga Singapura berusia 67 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Bandar Kuantan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV tersebut membelok ke kanan untuk membuat pusingan U sebelum dirempuh motosikal ditunggangi mangsa yang datang dari arah belakang.

Iklan

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ashari berkata, pemandu MPV berkenaan bersama dua penumpang lelaki dan seorang wanita warga Singapura yang menaiki kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Iklan

Katanya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada pemandu MPV yang gagal rapat ke bahagian kanan jalan sebelum membelok, menyebabkan pelanggaran berlaku.

“Keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dua lorong dua hala dengan permukaan jalan basah.

"Pencahayaan gelap berlampu kerana cuaca hujan renyai-renyai pada waktu senja,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.