KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik lori yang sebelum ini tular kerana membakar kenderaan miliknya bagi mengelak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Tertuduh, Mohamad Aimullah Che Ambok, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan ke atasnya di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai JPJ daripada menjalankan tugas rasmi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, Jalan Tepoh Kuala Nerus kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Oktober lalu.
Mohamad Aimullah didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh didenda RM3,500 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Pada 22 Oktober lalu, media melaporkan lelaki berkenaan bertindak membakar lori miliknya sendiri selepas kenderaan tersebut diarahkan disita oleh pegawai JPJ dalam operasi di daerah Kuala Nerus.