PUTRAJAYA – Malaysia Techlympics 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan luar biasa melebihi 1.84 juta peserta dari 1,420 sekolah di seluruh negara.
Ia sekali gus menjadikannya program pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) terbesar sejak diperkenalkan pada 2022.
Acara anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu bakal menghimpunkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara pada peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 9 dan 10 November ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI Abdullah Daud berkata, Malaysia Techlympics bukan sekadar pertandingan, sebaliknya gerakan nasional bagi menyemai minat terhadap sains dan inovasi dalam kalangan generasi muda berusia antara tujuh hingga 30 tahun.
“Kami mahu pelajar rasa bangga, ibu bapa rasa yakin dan masyarakat melihat bahawa anak muda Malaysia mampu mencipta masa depan. Dari pentas Malaysia Techlympics ini, mungkin lahir saintis, pencipta dan usahawan teknologi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, penyertaan antarabangsa dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan China membuktikan komitmen Malaysia untuk melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif dan bersedia ke pentas dunia.
Selain membawa pulang trofi dan wang tunai keseluruhan bernilai RM141,100, pemenang juga berpeluang mewakili negara ke pelbagai pertandingan antarabangsa termasuk Pilot X International di Hong Kong pada Februari 2025 yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia.
Menariknya, edisi kali ini turut menampilkan penyertaan 2,500 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam Cabaran Mencipta Robot (Keterangkuman), yang buat pertama kali akan berentap secara fizikal di pentas akhir.
Bagi memastikan peluang sama rata kepada semua, MOSTI melaksanakan lebih 90 program keterangkuman di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar, pedalaman dan komuniti Orang Asli.
Sepanjang dua hari penganjuran di MITC, pelbagai aktiviti turut diadakan untuk seisi keluarga termasuk pameran STI dengan 40 ruang pameran interaktif, demonstrasi teknologi, aktiviti sains dan pertunjukan khas.
“Salah satu tarikan utama ialah pertunjukan dron dalam bangunan terbesar di Malaysia melibatkan 40 unit dron yang bakal dicatat dalam Malaysia Book of Records,” jelas Abdullah.
MOSTI menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung dengan kemasukan percuma kepada orang ramai.