SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dicadangkan dilantik sebagai ahli ex-officio dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta rangkaian Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi memperkukuh kerjasama dalam aspek keselamatan dan disiplin pelajar.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Mohd Zaini Abu Hassan berkata, langkah itu bertujuan mengukuhkan peranan PPS yang sebelum ini hanya hadir ke sekolah atau mesyuarat apabila dijemput.
“Saya mahu memperkasakan peranan PPS dengan memberi mereka kedudukan sebagai ahli tetap dalam struktur PIBG supaya dapat terlibat secara langsung dalam urusan berkaitan keselamatan dan disiplin pelajar.
“Mekanisme pelaksanaan inisiatif berkenaan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa serta wakil komuniti,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan pagi bersama guru dan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong di sini pada Isnin.
Katanya, melalui jawatankuasa khas, PPS boleh memberi pandangan dan nasihat berkaitan disiplin, keselamatan serta pendidikan pencegahan.
“Langkah ini juga memastikan penglibatan polis di sekolah lebih tersusun dan berterusan.
“Cadangan tersebut sudah dipersetujui di peringkat negeri dan akan dibawa ke mesyuarat nasional antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPM untuk pertimbangan serta kelulusan,” katanya.
Menurutnya, jika diluluskan, inisiatif yang bermula di Selangor ini akan diperluaskan ke seluruh negara.
“Ia merupakan langkah besar dalam memperkukuh hubungan strategik antara polis dan pihak sekolah.
“Usaha ini juga selaras dengan Arahan Tadbir Urus Polis Bilangan 171 yang memperincikan peranan PPS dalam mempertingkat keselamatan serta pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar,” katanya.