PELAKON terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta, 52, bakal menerima menantu apabila anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, dilaporkan telah bertunang dengan wanita pilihannya dalam satu majlis tertutup yang berlangsung semalam.
Majlis yang diadakan secara sederhana tetapi meriah itu dihadiri keluarga terdekat dan dikongsikan Che Ta sendiri menerusi Instagram Story (IGs), di mana beliau memuat naik beberapa foto serta video sekitar majlis pertunangan berkenaan.
Menerusi hantaran tersebut, Che Ta dan Ammar menerima ucapan tahniah daripada para tetamu, sementara difahamkan keluarga pelakon Kiah Pekasam itu menghantar 10 dulang hantaran sebagai tanda rasmi pertunangan.
Selain itu, Che Ta turut membuat hantaran semula (repost) disertakan dengan doa dan kata-kata indah agar ikatan pertunangan anaknya itu diberkati ALLAH dan kekal hingga ke alam perkahwinan.
“Alhamdulillah, tahniah atas pertunangan ini. Semoga ikatan yang terbina diberkati ALLAH, dipermudahkan urusan menuju ke perkahwinan dan kekal bahagia hingga ke syurga.
"Semoga cinta yang halal sentiasa mekar dengan kasih, hormat dan doa yang ikhlas antara satu sama lain,” tulis Che Ta berserta emoji cincin dan ucapan tahniah buat Ammar Effendy.
Walaupun tiada maklumat terperinci mengenai majlis berkenaan dikongsikan, Che Ta tetap mencuri perhatian apabila berbusana indah berona kuning keemasan hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail.
Difahamkan, tema warna kuning keemasan turut dipilih untuk seisi keluarga apabila suaminya, Zain Saidin, serta anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rania, 11, turut tampil sedondon bersama ahli keluarga lain.
Majlis itu turut dihadiri bekas suami Che Ta, Azuar Effendy Zulkaply, manakala Ammar kelihatan segak berbaju Melayu merah jambu lembut, sepadan dengan busana tunangnya.
Sebagai ibu kepada tiga anak, Che Ta sering berkongsi momen bersama Ammar di media sosial, namun kali ini beliau memilih untuk tidak mendedahkan identiti bakal menantunya, sekali gus mengekalkan privasi keluarga mereka.