Kurang yang bercakap, kurang keliru

Iklan

AWANG nak ingatkan kerajaan bahawa dalam isu Covid-19 ini, yang paling penting ialah cara maklumat disampaikan ke bawah. Pada pendapat Awang, terlalu ramai yang nak bercakap.

Bukan lebih menerangkan, malah lebih mengelirukan rakyat.

Iklan
Iklan

Awang faham ada masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu muncul. Sejak krisis ini, sudah tiga kali beliau keluar TV.

Tapi pegawai beliau sepatutnya bantulah beri maklumat secukupnya pada beliau.

Iklan

Atau sepatutnya adalah seorang dua pegawai kanan berkaitan di sebelah beliau.

Macam hari itu, beliau cakap pasal bayaran ujian Covid-19 di hospital, mungkin TS PM baharu tak dapat maklumat yang betul.

Iklan

Terpaksalah Kementerian Kesihatan membetulkan esoknya.

Awang kesian pada Menteri Kesihatan kena tempelak pasal mencadangkan minum air suam bagi membunuh virus.

Awang tak reti politik dan tak pandai hal kesihatan. Tapi tak usahlah buat kenyataan yang mengundang kontroversi pada masa ini. Tumpulah pada hal pokok dan penting saja.

Dua hari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan kata tak perlulah rakyat semua pakai topeng muka jikalau tidak ada simptom.

Selama ini rakyat diminta pakai topeng muka demi keselamatan.

Oleh sebab itu, topeng muka habis di pasaran. Baru-baru ini juga kerajaan umum nak bagi 10 juta topeng muka percuma.

Awang rasa rakyat nak tahu benarkah tak perlu pakai topeng muka? Benarkah yang ada tanda-tanda penyakit dan petugas kesihatan barisan depan saja yang perlu pakai?

Orang ramai tak perlu? Ini semua yang buat rakyat keliru.

Jemaah tabligh perlu bertanggungjawab

Bukanlah niat sesiapa nak mencari salah. Apa lagi nak menuding jari menuduh siapa yang bersalah. Kita semua tahu sejak beberapa hari kebelakangan ini jumlah orang yang didapati positif Covid-19 semakin bertambah.

Dan setiap hari kita diberitahu bahawa peratusan tertinggi mereka yang didapati positif itu ada kena-mengena dengan mereka yang hadir pada perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Menurut khabarnya, sebahagian besar daripada rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat wabak itu setakat ini juga ada kaitannya dengan jemaah yang menghadiri perhimpunan itu.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, satu daripada 10 jemaah tabligh yang menghadiri perjumpaan itu didapati positif Covid-19.

Menurut laporan berita, seramai 14,000 orang menghadiri perhimpunan itu. Jikalau diambil kiraan mudah, 1,400 orang dijangka positif. Ini merupakan bom masa yang dahsyat. Bayangkan 1,400 yang kemudian akan menjangkitkannya pada anggota keluarga dan kenalan.

Awang juga baca berita bahawa masih lagi terdapat 3,000 orang yang belum dapat dikesan dan diuji. Awang harap penganjur perhimpunan itu ambil perhatian perkara ini. Kita mahu mengelakkan prasangka buruk terhadap mereka. Awang tak mahu stigma ke atas jemaah tabligh berterusan. Nama baik Islam juga terjejas.

Kita semua tahu kumpulan ini bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Baru-baru ini terdapat perhimpunan besar yang dirancang di Sulawesi. Ia merupakan Ijtimak Dunia 2020 Zon Asia. Mujurlah kerajaan Indonesia membatalkannya pada saat akhir. Tetapi ribuan sudah berkumpul di sana termasuklah jemaah dari Malaysia.