KUALA LUMPUR - Polis melaksanakan kawalan ketat di sekitar Ampang Park, Jalan Ampang, di sini bagi mengelakkan sebarang penganjuran himpunan pada Ahad.
Tinjauan Sinar Harian seawal jam 8.30 pagi mendapati laluan masuk ke lokasi terbabit dipantau dan pemeriksaan ketat dilakukan anggota kepada pengguna jalan raya yang hendak melalui kawasan itu.
Antara elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi itu ialah Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
Beberapa trak polis turut kelihatan di lokasi terbabit.
Sebelum itu, difahamkan satu himpunan akan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 berlangsung di ibu negara.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan sidang akhbar Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus yang menegaskan bahawa masyarakat perlu mematuhi undang-undang selaras dengan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan orang awam.
Menurut Fadil, lokasi Ampang Park tidak bersesuaian sebagai tempat berhimpun berdasarkan risikan dan analisis pihak polis kerana jaraknya kira-kira 50 meter daripada zon merah.
Zon merah ini dalam kawasan di mana penglibatan aktif laluan-laluan protokol semua delegasi ASEAN.
End.
Caption: PDRM mengawal ketat sekitar Ampang Park, Jalan Park di ibu negara pada Ahad.