SHAH ALAM – Larangan penyajian dan penganjuran arak di sekolah mestilah dihormati berdasarkan peraturan sedia ada bagi memastikan institusi pendidikan terus bebas daripada pengaruh negatif termasuk ketagihan alkohol.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 dengan jelas melarang sumbangan yang diterima daripada aktiviti tidak baik seperti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan sebagainya.
Menurut beliau, imej sekolah perlu dikekalkan sebagai sebuah institusi yang mempromosikan budaya sihat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Saya yakin, berdasarkan kemajmukan rakyat negara ini, budaya Malaysia perlu dibina bagi memastikan kelangsungan perpaduan dan keamanan.
“Justeru itu, Rukun Negara perlu dijadikan asas pembinaan budaya Malaysia dengan Rukun Kelima, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sebagai panduan utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Muhammad Faiz turut menyarankan agar semua pihak menghormati garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.
Tambah beliau, dari sudut undang-undang, kawalan terhadap minuman keras adalah sah dan berada dalam ruang lingkup Perlembagaan, termasuk Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Jika dilihat kepada undang-undang sedia ada, penjualan arak di negara ini tertakluk kepada garis panduan yang ketat dan hanya dibenarkan kepada individu berumur 21 tahun ke atas.
“Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Akta Makanan 1983 dengan jelas menggariskan larangan menjual arak kepada mereka berumur bawah 21 tahun, kewajipan jualan di tempat berasingan serta keperluan mempamerkan tanda larangan jualan kepada mereka di bawah umur tersebut,” ujarnya.
Muhammad Faiz berkata, peraturan-peraturan tersebut menunjukkan bahawa minuman beralkohol sememangnya dikawal demi kesejahteraan hidup rakyat secara keseluruhan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, termasuk selepas waktu persekolahan.
Beliau berkata, walaupun premis sekolah disewa oleh pihak luar seperti persatuan alumni, ia tidak wajar digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan dan falsafah pendidikan negara.