Finland sertai TAC ASEAN

Iklan
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, bersama Menteri Luar Finland, Elina Valtonen (kiri), dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, hadir pada majlis menandatangani Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) oleh Republik Finland, yang berlangsung di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Finland secara rasmi menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), menjadikannya negara ketiga menyertai perjanjian itu di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Penyertaan Finland menjadikan keseluruhan 58 negara menyertai perjanjian itu, selepas Algeria serta Uruguay pada Julai lepas sekali gus memperkukuh peranan ASEAN sebagai jambatan kerjasama antara wilayah dan benua.

Iklan
Iklan

Finland yang diwakili oleh Menteri Luar Elina Valtonen memeterai komitmen rasmi negara itu di luar sesi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, dan turut hadir ialah menteri-menteri luar negara anggota dan Timor-Leste serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Iklan

Ditubuhkan pada 1976, TAC mengandungi prinsip sejagat mengenai kewujudan bersama secara aman dan kerjasama dalam kalangan negara anggota, yang berperanan sebagai kod yang mengikat secara sah antara negara di Asia Tenggara serta meluaskan pengaruhnya melangkaui rantau berkenaan.

Negara yang menyertai perjanjian itu termasuk kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah.

Iklan

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober. - Bernama