KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kejadian pencerobohan di kawasan transit aliran massa (MRT) Taman Desa selepas pagar di lokasi berkenaan ditemui dalam keadaan terbuka dan dipercayai dipotong pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima daripada Polis Bantuan MRT Laluan Putrajaya pada jam 12.41 tengah hari tadi.
“Hasil pemeriksaan polis bantuan di lokasi mendapati pagar dipercayai telah dipotong sekitar jam 6.30 pagi dan terdapat kabel komunikasi milik MRT yang dilonggokkan berhampiran tiang Pier 0373,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semua kabel yang dijumpai telah dibawa ke Depoh Serdang oleh pihak Signaling and Communication (S&C) untuk rujukan syarikat serta untuk mengukur semula panjang kabel bagi menentukan jumlah yang telah dicuri.
“Kes masih dalam siasatan pihak polis” katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya yang menyebabkan perkhidmatan tren dijalankan secara manual sejak pagi Sabtu disyaki berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), Amir Hamdan berkata, pasukan teknikal bersama pakar sistem asal (OEM) sedang melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin.
Buat masa ini, sistem masih beroperasi secara tidak konsisten dan belum dapat diperbetulkan sepenuhnya.
Operasi dijalankan dalam mod manual dengan 18 tren beroperasi, manakala 40 bas perantara percuma disediakan bagi menghubungkan stesen di sepanjang Laluan Putrajaya.
Beliau berkata, insiden kecurian kabel yang menjejaskan operasi MRT itu dikesan di kawasan Taman Desa.