KOTA BELUD - Seorang wanita warga emas ditemukan rentung selepas rumah yang didiami terbakar dalam kejadian di Kampung Bangkahak Sunsum, di sini, pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia sekitar 70-an ditemui di bahagian bilik tidurnya selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Elgie Bakuk berkata, sebaik pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sepasukan terdiri 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 13 kilometer.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus. Pasukan bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan kaedah 'offensive' dengan menggunakan sumber air dari tangki jentera.
"Komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa ditemui di bilik tidur," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi dan operasi mengeluarkan mangsa segera dilakukan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 pagi," katanya.