WASHINGTON – Ribuan rakyat Amerika Syarikat dari pelbagai latar belakang turun ke jalan pada Sabtu lalu dalam siri tunjuk perasaan besar-besaran dikenali sebagai gerakan 'No Kings', sebagai tanda bantahan terhadap dasar pentadbiran Presiden Donald Trump dan kebimbangan terhadap ancaman demokrasi negara itu.
Demonstrasi yang berlangsung serentak itu menyaksikan ribuan rakyat membanjiri bandar-bandar utama termasuk New York, Washington DC, Los Angeles, Chicago dan Miami.
Suasana di Times Square, New York misalnya, bertukar menjadi lautan manusia apabila lebih 100,000 peserta membawa sepanduk bertulis 'Democracy not Monarchy' dan 'The Constitution is not optional', menzahirkan penolakan terhadap apa yang mereka anggap sebagai ancaman terhadap demokrasi Amerika.
Di ibu negara Washington D.C., ribuan berhimpun di dataran utama sambil membawa poster dengan mesej menuntut akauntabiliti dan hak kebebasan bersuara.
Seorang peserta, Tara Reel tampil berpakaian seperti Patung Liberty sedang berkabung bagi menggambarkan kekecewaan terhadap keadaan politik negara ketika ini.
“Ini bukan soal parti politik, ini soal maruah demokrasi,” katanya.
Di Macon, Georgia, aktivis Legacee Medina mengetuai laungan semangat sambil membawa sepanduk bertulis 'No Kings' dan 'We the People' sebagai simbol menolak sebarang bentuk kuasa autoritarian.
Belon gergasi berbentuk bayi Trump yang sinonim dengan protes anti-presiden turut ‘terbang’ di langit Los Angeles, menjadi simbol ejekan terhadap pemimpin yang kini berdepan kecaman antarabangsa.
Di tengah gegak-gempita sorakan dan hentakan gendang, laungan 'This is what democracy looks like' bergema tanpa henti menandakan semangat rakyat yang tidak mahu tunduk kepada kuasa mutlak.
Walaupun pihak berkuasa beberapa negeri mengerahkan Pasukan Pengawal Kebangsaan sebagai langkah berjaga-jaga, penganjur menegaskan hampir tujuh juta rakyat turun ke jalan dengan aman.
Gelombang kemarahan
Gelombang kemarahan itu memuncak susulan tindakan Trump yang didakwa memperluas kuasa Presiden melalui beberapa perintah eksekutif, termasuk membubarkan beberapa agensi persekutuan serta mengarahkan penghantaran pasukan keselamatan ke bandar-bandar tanpa persetujuan gabenor negeri.
Pengkritik menyifatkan langkah itu sebagai cubaan menggugat keseimbangan kuasa dan melemahkan sistem demokrasi.
Dalam temu bual bersama Fox News, Trump menafikan dakwaan beliau bertindak seperti diktator.
“Saya bukan raja,” katanya, menegaskan tindakannya perlu bagi 'membangunkan semula negara yang sedang dilanda krisis'.
Namun ramai peserta menolak alasan itu.
Beth Zasloff, seorang penulis dari New York, berkata, beliau hadir kerana bimbang terhadap arah tuju negara yang kian menindas.
Katanya, “Saya marah, tetapi berada di sini bersama ribuan yang sehaluan memberi saya harapan.”
Senator Bernie Sanders yang turut menyertai protes di Washington berkata, “Kami bukan di sini kerana benci Amerika, tetapi kerana kami menyayanginya.”
Gerakan No Kings kini muncul sebagai simbol kebangkitan rakyat menentang penyalahgunaan kuasa dan menyeru kepada kembalinya semangat demokrasi sejati di bumi Amerika. - Agensi