KELANTAN The Red Warriors (Kelantan TRW) meraih kemenangan tipis apabila menewaskan Melaka FC 2–1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Jumaat malam.
Turun dengan misi memburu tiga mata penuh, skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang kembali menurunkan penyerang import, Ifedayo Olusegun memulakan perlawanan dengan agresif dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
Bagaimanapun, deretan peluang yang diperoleh gagal disempurnakan susulan ketumpulan jentera serangan tuan rumah.
Jaringan yang dinantikan akhirnya hadir menerusi gol sendiri pemain Melaka FC, Onyekachi Ozor pada minit ke-37 yang tertampan bola ke gawang sendiri selepas terperangkap dengan hantaran lintang Syahir Saiful Nizam.
Keputusan itu kekal hingga tamat babak pertama menyaksikan Kelantan TRW membawa bekalan satu jaringan ke bilik persalinan.
Memasuki babak kedua, tuan rumah terus mengatur pelbagai gerakan untuk menggandakan jaringan, namun beberapa peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan dengan baik.
Dalam usaha memperkukuh kedudukan, pemain gantian Muhammad Danial Hakim Draman berjaya meledak gol kedua Kelantan TRW pada minit ke-88 selepas bijak memanfaatkan peluang dalam kotak penalti.
Namun, ketika permainan menuju ke penghujung, Melaka FC berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Juan Silva menjadikan kedudukan 2–1 dan kekal sehingga wisel penamat.