SEREMBAN – Tanda tugu misteri yang menimbulkan kegusaran penduduk di Jalan Tasik Senangin 10/5, Bandar Tasik Senangin di sini telah pun dimusnahkan oleh pemilik tanah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Majlis Bandaraya Seremban(MBS) sebentar tadi.
Iklan
Iklan
"MBS maklumkan yang pemilik tanah telah arahkan pekerjanya pecahkan tugu tersebut bagi meredakan keadaan.
"Saya harap selepas ini tidak timbul lagi apa-apa isu dan penduduk juga dinasihatkan bertenang," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Jelas Mohd Asna, beliau menerima maklumat mengenai struktur tersebut telah dimusnahkan daripada pihak polis sekitar jam 8.20 malam.
"Pihak polis ke lokasi untuk mengambil gambar, tapi terkejut sebaik mendapati ia telah dimusnahkan,"katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengesahkan tugu berkenaan dibina di atas tanah milik persendirian.