ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,007 mangsa daripada 311 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kulim dan Kuala Muda setakat jam 5 petang Jumaat.
Jumlah tersebut bertambah berbanding 910 mangsa daripada 285 keluarga yang dilaporkan pada jam 12 tengah hari.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan, daerah Kulim terus mencatatkan peningkatan seramai 955 orang daripada 287 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.
PPS terbabit adalah Surau Taman Sang Kancil menempatkan 98 mangsa daripada 28 keluarga, PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok seramai 12 mangsa daripada dua keluarga serta PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Isaniah Jangkang seramai 423 mangsa daripada 118 keluarga.
Turut dibuka, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh (199 mangsa daripada 67 keluarga), SRJ (C) Khi Min (104 mangsa daripada 37 keluarga), PPS Dewan Orang Ramai Sungai Karangan (22 mangsa daripada 19 keluarga) dan PPS Surau Padang Meha (97 mangsa daripada 16 keluarga).
Sementara di PPS di SJK (C) Chong Cheng di daerah Kuala Muda pula menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga akibat kejadian air pasang dan ombak besar yang berlaku pada Rabu.
Dalam pada itu, lima daerah di negeri ini turut terjejas akibat banjir namun tiada PPS dibuka di daerah tersebut setakat ini.
Daerah Sik yang terjejas banjir adalah di Kampung Kota Bukit, Kampung Kuala Ruman, Kampung Gajah Putih, Kampung Tandop, Kampung Berona Kanan, Kampung Sungai Pau, Kampung Begia, Kampung Gulai, Kampung Charuk Kudung, Kampung Lentang, Kampung Kuala Betong, Kampung Belantik Luar, Kampung Surau dan Kampung Pinang.
Di Pendang pula melibatkan mukim Peliang dan Padang Kerbau, iaitu di Kampung Asam Jawa, Kampung Sawa Besar, Kampung Felda Sungai Tiang dan Kampung Baru.
Di Bandar Baharu, kawasan terjejas membabitkan Kampung Terap Dalam, Kampung Sungai Tengas, Kampung Sungai Punti, Kampung Batu 16 Lombong A, Kampung Cherok Meranti di mukim Selama, Serdang dan Sungai Batu.
Sementara di Baling, tiga mukim terjejas di Teloi Kanan, Bakai dan Sion melibatkan Kampung Paya Menora, Kampung Badang, Kampung Gelugor Sedim, Kampung Sedim, Maahad Tahfiz Muhammadi, Kampung Batu 8, Kampung Sri Ketengga serta Kampung Bukit Sebelah.
Daerah Kubang Pasu pula hanya mukim Keplu terjejas banjir di Kampung Kolam Ikan dan Kampung Baru Batu 4.
Setakat jam 3 petang, hanya Sungai Pendang menunjukkan trend menaik dan aras air telah melepasi tahap bahaya, iaitu 2.9 meter.
Aras air Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling merekodkan 59.85 meter dan telah melebihi tahap amaran walaupun menunjukkan trend menurun.