Tanda tugu misteri betul-betul sebelah rumah penduduk

Iklan
Abdul Rahim (kiri) dan Sahat (tengah) melihat lokasi pembinaan tanda tugu di Bandar Tasik Senangin, Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Tanda tugu misteri yang dibina di atas sebidang tanah di Jalan Tasik Senangin 10/5, Bandar Tasik Senangin, di sini terletak betul-betul bersebelahan dengan rumah penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, lokasi tanah tersebut agak tersorok dan seperti baru dibersihkan.

Iklan
Iklan

Selain itu, terdapat tiga tong roro di situ, namun kosong.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga(KRT) Bandar Tasik Senangin, Sahat Kahar berkata, pihaknya hanya mengetahui mengenai kewujudan tugu tersebut selepas diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng untuk menyiasatnya.

Iklan

"Jadi pihak kami pun pergi buat siasatan di lokasi dan sememangnya terdapat batu tugu yang tertera ayat mencurigakan.

"Saya juga difahamkan ada penduduk nampak sebuah bas menurunkan ramai penumpang di situ dipercayai untuk upacara perasmian tugu terbabit dan itu membuatkan mereka curiga," katanya.

Iklan

Menurut Sahat, pihaknya mengesyaki batu tersebut telah didirikan lebih awal di situ, namun hanya disedari penduduk pada minggu ini.

Beliau bagaimanapun berharap penduduk tidak terlalu beremosi berdepan isu terbabit dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan lanjut.

Timbalan Pengerusi KRT Bandar Tasik Senangin, Abdul Rahim Noordin pula berkata, sebelum ini penduduk tidak menyedari sebarang kegiatan atau aktiviti mencurigakan di situ.

"Kita pun tak ambil tahu status tanah itu sama ada milik persendirian atau kerajaan.

"Cumanya bila tahu ada kewujudan tugu terbabit, barulah kita semak dengan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Beliau turut berharap penduduk tidak mengambil tindakan tidak sepatutnya dan menyerahkan kepada pihak berwajib.

Sebelum ini media melaporkan, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mengesahkan tanda tugu tersebut dibina di atas tanah milik persendirian.