Amah didera, mulut dimasukkan air panas gara-gara kicap

Iklan
Seorang pembantu rumah warga Indonesia diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa dera majikannya.

SERDANG – Hanya kerana tidak memberitahu mahu menggunakan kicap untuk makan, seorang pembantu rumah warga Indonesia berdepan detik hitam apabila mulutnya dimasukkan air panas oleh majikannya.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 37 tahun menerima mesej daripada adiknya yang memaklumkan sesuatu telah berlaku di rumah mereka pada 19 Oktober lalu kira-kira jam 2.30 petang.

Iklan
Iklan

"Pengadu kemudian menghubungi adiknya dan dimaklumkan bahawa pembantu rumah telah didera oleh ibu mereka.

"Antara bentuk penderaan termasuk memasukkan air panas ke dalam mulut mangsa hanya kerana tidak memberitahu mahu menggunakan kicap untuk makan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sebelum ini turut mengalami penderaan fizikal yang kejam, termasuk dipicit payudara sehingga luka dan bernanah, disimbah air panas ke kaki, dan ditendang pada bahagian gigi sehingga patah.

"Bertindak atas maklumat, pada 20 Oktober kira-kira jam 1 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang telah menahan seorang wanita tempatan berusia 59 tahun dan menyelamatkan mangsa.

Iklan

"Tangkapan susulan dibuat pada 23 Oktober terhadap suami wanita berkenaan yang berusia 59 tahun," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan

"Selepas siasatan lengkap, kes dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada 24 Oktober di bawah Seksyen 13(a) ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Kedua-dua tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan dibenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin masing-masing selain pasport kedua-duanya turut diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau eksploitasi pekerja asing kepada pihak polis di balai berhampiran atau menghubungi IPD Serdang di talian 03-8074 2222.