SAMUT PRAKAN, THAILAND - Seorang pemuda berusia 39 tahun maut dipatuk ular tedung di rumahnya di daerah Bang Sao Thong, di sini pada awal pagi Khamis, beberapa minit selepas menelefon neneknya untuk meluahkan rasa sayang.
Menurut laporan Thaiger, pegawai polis Balai Bang Sao Thong bersama doktor forensik Hospital Ramathibodi Chakri Naruebodindra dan sukarelawan Yayasan Penyelamat Por Teck Tung bergegas ke rumah mangsa di subdaerah Sisa Chorakhe Yai sebaik menerima laporan kejadian.
Sebaik tiba, pihak berkuasa menemukan mayat mangsa warga tempatan itu yang dikenali sebagai Mai di tingkat dua rumah berkenaan.
Terdapat kesan gigitan pada pergelangan tangan kiri dan pasukan forensik menganggarkan mangsa telah meninggal dunia sekurang-kurangnya dua jam sebelum mereka tiba.
Anggota penyelamat kemudiannya menghubungi unit penangkap ular dan berjaya menangkap spesies tedung kira-kira satu meter yang disahkan sebagai punca kejadian.
Menurut nenek mangsa, Lek yang berusia 74 tahun, sang cucu menghubunginya sekitar jam 6.40 pagi.
“Dia tanya saya, ‘Nenek, nenek sayang saya tak?’ Saya jawab, saya sayang dia sangat,” katanya dalam nada sebak.
Jelasnya lagi, Mai kemudian memberitahu bahawa dia dipatuk ular dan memintanya menguruskan hal-hal berkaitan sekiranya tidak sempat diselamatkan.
Tambah Lek, suara Mai menjadi tidak jelas sebelum talian terputus beberapa saat kemudian.
Bimbang sesuatu terjadi, Lek segera menghubungi cucu perempuannya yang lain untuk memeriksa keadaan Mai.
Malangnya, mangsa sudah tidak lagi bernafas apabila pasukan perubatan dan penyelamat sampai, malah usaha melakukan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) gagal menyelamatkan pemuda tersebut.
Polis mengesahkan kematian berpunca daripada bisa ular tedung dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Ramathibodi Chakri Naruebodindra untuk proses bedah siasat.
Pihak berkuasa turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati pada musim hujan kerana ular sering keluar mencari perlindungan di kawasan kediaman.