SASARAN skuad bola sepak bawah 23 tahun negara kendalian Nafuzi Zain untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025 disifatkan realistik berpaksikan kemampuan semasa pasukan.
Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, objektif itu dilihat munasabah memandangkan anak buah Nafuzi masih dalam fasa pembinaan semula selepas dua kejohanan besar sebelum ini menyaksikan prestasi yang belum menepati sasaran.
“Kalau kita bercakap tentang sasaran realistik, saya fikir memang betul. Sasaran separuh akhir itu wajar dan berpijak pada realiti.
“Pasukan kita masih belum stabil sepenuhnya, jadi jangan terlalu tinggi harapan hingga terperangkap dengan janji kosong
“Letak sasaran ke final mungkin terlalu tinggi dengan keadaan sekarang. Tapi kalau berjaya ke separuh akhir, itu petanda jelas bahawa pasukan sedang meningkat. Dari situ barulah boleh fikir langkah lebih jauh,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM menegaskan, kempen kali ini perlu dijadikan medan untuk membuktikan kemajuan sebenar Harimau Muda selepas dua kegagalan di Piala ASEAN B-23 dan Kelayakan Piala Asia B-23.
“Kita tak mahu lagi dengar janji-janji besar seperti dulu, cakap yakin ke final tapi akhirnya tersingkir di peringkat kumpulan atau suku akhir. Kali ini kita mahu bukti, bukan alasan,” tegasnya.
Sementara itu, Pekan mengingatkan, skuad negara perlu menjadikan pengalaman lalu pengajaran penting dan mengutamakan pendekatan berdisiplin dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
Katanya, format kejohanan ibu segala pingat berkenaan juga memberi tekanan tambahan kepada semua pasukan.
“Saingan kali ini melibatkan tiga kumpulan, masing-masing mengandungi tiga hingga empat pasukan, dengan hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke separuh akhir. Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Laos.
“Kedudukan naib juara belum tentu menjamin tiket. Malaysia mesti muncul juara kumpulan untuk elak risiko. Kalau bergantung kepada keputusan kumpulan lain, itu sudah bahaya,” ujarnya.
Pekan turut mengingatkan Harimau Muda tidak memandang rendah kemampuan Laos yang pernah menewaskan Malaysia pada edisi terdahulu.
“Fokus jangan hanya pada Vietnam. Laos juga mampu beri kejutan. Kita tak boleh ulang kesilapan dulu, pandang rendah lawan kononnya lemah tapi akhirnya terperangkap sendiri
“Realitinya, Malaysia tiada pilihan. Kena menang ke atas Laos dan sekurang-kurangnya seri dengan Vietnam untuk juara kumpulan. Jangan bergantung pada nasib. Kalau betul-betul mahu buktikan kebangkitan, separuh akhir mesti dicapai,” katanya.
INFO
SUKAN SEA THAILAND 2025
BOLA SEPAK LELAKI
KUMPULAN A
1.Thailand
2.Kemboja
3.Timor-Leste
KUMPULAN B
1.Vietnam
2.MALAYSIA
3.Laos
KUMPULAN C
1.Indonesia
2.Myanmar
3.Filipina
4.Singapura