SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sedia mendengar dengan teliti setiap kebimbangan yang dibangkitkan terkait isu keselamatan di institusi pendidikan.
Beliau berkata, setiap pandangan dan sumbang saran yang diberikan sangat dihargai.
Dalam masa sama, beliau menegaskan akan mengambil tanggungjawab berhubung perkara tersebut.
"Semalam saya bersama-sama dengan Timbalan Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah menerima memorandum #MakeSchoolASaferPlace dari Sekretariat Sekolah Selamat di hadapan pintu masuk Parlimen Malaysia.
"Saya kata begini. Kami di Kementerian Pendidikan (KPM) berkongsi kebimbangan yang sama dengan kumpulan mahasiswa, gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam yang berhimpun semalam, serta jutaan lagi rakyat di seluruh negara yang inginkan ekosistem selamat di institusi pendidikan.
"Tiada kompromi. Ini yang kita semua mahukan!" katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Tambah Fadhlina, KPM kini sedang berusaha menangani kelompangan yang wujud dan melaksanakan pelbagai langkah untuk tujuan tambah baik.
"Ayuh kita bersama-sama berikhtiar, memastikan institusi pendidikan menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, para guru dan warga pendidikan," ujarnya.