Syria Care sasar hantar dua kontena pakaian musim sejuk ke Syria tahun ini

Iklan
Syria Care menyasarkan penghantaran dua kontena pakaian musim sejuk ke Syria tahun ini menerusi pelancaran kempen Winter Aid 13.0, sebagai kesinambungan misi kemanusiaan global pertubuhan itu.

SHAH ALAM – Syria Care menyasarkan penghantaran dua kontena pakaian musim sejuk ke Syria tahun ini menerusi pelancaran kempen Winter Aid 13.0, sebagai kesinambungan misi kemanusiaan global pertubuhan itu.

Dalam kenyataannya, Syria Care memaklumkan kempen tersebut bertujuan membantu komuniti rentan di Syria serta pelarian Syria di Lubnan yang bakal berdepan musim sejuk mencabar dan mengancam nyawa sekiranya tiada persediaan mencukupi.

Iklan
Iklan

"Kempen Winter Aid 13.0 dilaksanakan mulai 26 September hingga 31 Disember 2025 dengan fokus kepada tiga bentuk bantuan utama iaitu bahan bakar (diesel, kayu api dan briket zaitun) serta pakaian musim sejuk.

"Di bawah kempen ini, inisiatif ‘Warm Their Winter’ menjadi teras tahunan Syria Care sejak 2013 bagi menyediakan perlindungan dan kehangatan kepada rakyat Syria. Tahun ini, program berkenaan akan berlangsung pada 22 hingga 26 Oktober ini di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam," katanya pada Khamis.

Iklan

Kempen Winter Aid 13.0 dilaksanakan mulai 26 September hingga 31 Disember 2025 dengan fokus kepada tiga bentuk bantuan utama iaitu bahan bakar (diesel, kayu api dan briket zaitun) serta pakaian musim sejuk.

Syria Care menyasarkan pengumpulan pakaian tebal, jaket, selimut, kasut dan barangan lain yang amat diperlukan bagi membantu mereka menghadapi musim sejuk.

Iklan

"Setakat ini, sebanyak 17 kontena bantuan telah dihantar ke Syria dan Lubnan. Tahun ini dua kontena bersaiz 40 kaki disediakan bagi memuatkan 1,584 kotak bantuan musim sejuk, masing-masing seberat 10 hingga 15 kilogram.

"Bantuan tersebut akan dihantar melalui jalan laut dan dijangka mengambil masa 50 hari untuk tiba di Pelabuhan Latakia, Syria dengan anggaran manfaat kepada lebih 12,000 individu.

"Dengan penghantaran itu, jumlah keseluruhan penerima manfaat sejak 2013 dijangka mencecah 250,000 orang menjadikan program ini simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap saudara seagama yang terkesan akibat perang berpanjangan," katanya.

Menurut Syria Care, kempen tersebut bukan sekadar memastikan kehangatan dan keselesaan tetapi juga usaha menyelamatkan nyawa daripada risiko maut akibat kesejukan melampau yang sering melanda kawasan bergolak seperti Syria dan Lubnan.

Pelaksanaan program tersebut turut disokong oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP Zon 3) serta rakan strategik seperti HUMAM Relief dan Pertubuhan Ihsanku Malaysia.

Antara barangan yang telah disusun bagi misi berkenaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, bagi menampung kos logistik dan operasi program, Syria Care menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000 dan menyeru orang ramai, syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

“Musim sejuk di Syria bukan sekadar cabaran cuaca, tetapi ujian kehidupan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal.

"Kami ingin menyampaikan bukan sahaja pakaian, tetapi juga kasih sayang dan harapan daripada rakyat Malaysia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Syria Care 562106653575 atau laman sesawang https://syriacare.org.my/winteraid/.