KETUA jurulatih badminton beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berharap Man Wei Chong–Tee Kai Wun dapat mengekalkan rentak mantap apabila turun menentang juara Terbuka Artik, Ben Lane–Sean Vendy dari England pada pusingan kedua Terbuka Perancis Super 750.
Beregu ranking kelima dunia itu sebelum ini tidak berdepan masalah menundukkan pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk–Ki Dong-ju, 21-9, 21-13 dalam aksi pembukaan di Glaz Arena, Cesson-Sévigné, Selasa lalu.
Iklan
Iklan
Kemenangan pantas dalam masa 27 minit berkenaan menyuntik keyakinan buat Wei Chong–Kai Wun yang kini semakin menunjukkan kestabilan prestasi sejak kebelakangan ini.
“Ya, saya harap mereka dapat atasi pemain England,” ujar Herry yang turut mengingatkan anak buahnya supaya kekal tenang dan sabar serta berani menukar corak permainan apabila berdepan tekanan lawan.
Wei Chong–Kai Wun dijangka berdepan cabaran getir berdepan Lane–Vendy, yang kini menduduki ranking ke-24 dunia yang sebelum ini mencuri tumpuan apabila menewaskan dua gandingan utama negara Aaron Chia–Soh Wooi Yik di Terbuka Artik Super 500 dan Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan pertama Terbuka Denmark Super 750.