PUTRAJAYA - Malaysia menyambut baik Pendapat Nasihat bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu dan menggesa penyaluran segera bantuan kemanusiaan ke Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), khususnya di Gaza.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata, keputusan terbaharu ICJ mengenai Kewajipan Israel berkaitan Kehadiran dan Aktiviti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pertubuhan antarabangsa lain dan negara ketiga di dalam serta berkaitan dengan OPT mengesahkan semula peranan penting dan amat diperlukan yang dimainkan oleh PBB.
Kementerian Luar berkata, keputusan ICJ kali ini antara lain menegaskan semula peranan PBB, khususnya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan penting di OPT termasuk di Semenanjung Gaza.
"Pada asasnya, dapatan mahkamah itu membawa maksud bahawa tindakan Israel menghalang dan menyekat bantuan kemanusiaan termasuk operasi UNRWA melanggar kewajipannya sebagai Kuasa Penjajah di bawah undang-undang antarabangsa. Ini termasuk kewajipan untuk menghormati larangan penggunaan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan.
"Dapatan ICJ ini turut mengesahkan hujah perundangan yang telah dikemukakan oleh Malaysia melalui Kenyataan Bertulis pada 28 Februari 2025 serta semasa Kenyataan Lisan pada 28 April 2025 di ICJ,” menurut Wisma Putra.
Kementerian itu berkata, Malaysia turut menggesa pelaksanaan segera Pendapat Nasihat tersebut bagi membolehkan bantuan kemanusiaan ke Wilayah Palestin Yang Diduduki, khususnya ke Gaza disalurkan tanpa sebarang halangan.
"Israel perlu dipertanggungjawabkan ke atas kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan,” menurut Wisma Putra.
Dalam dapatan terbaharunya, Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Israel melarang dan menyekat bantuan kemanusiaan termasuk operasi UNRWA adalah melanggar kewajipannya sebagai Kuasa Penjajah di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk larangan menggunakan kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan.
ICJ seterusnya menyatakan bahawa Israel mempunyai kewajipan untuk melindungi semua petugas dan kemudahan bantuan serta perubatan, selain bekerjasama secara suci hati dengan PBB termasuk memastikan penghormatan penuh terhadap premis UNRWA yang tidak boleh diceroboh serta menghormati keistimewaan dan kekebalan yang diberikan kepada pegawai serta pakar PBB dalam misi, selaras dengan Konvensyen 1946 mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB. - Bernama