RUU Tribunal Anti Buli dijangka selesai kes kurang 90 hari - Azalina

Iklan
Azalina (tengah) ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Sabah di Kota Kinabalu pada Khamis.

KOTA KINABALU – Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli yang bakal dibentangkan oleh kerajaan diharap dapat menjadi penyelesaian lebih cepat dan mesra mangsa dengan kes buli disasar selesai dalam tempoh kurang 90 hari, berbanding tujuh hingga sembilan tahun menerusi proses mahkamah sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tribunal tersebut akan berfungsi sebagai badan separa kehakiman (quasi-judicial) yang mengendalikan kes buli di bawah bidang kuasa sivil, tanpa menjejaskan sistem disiplin sedia ada di institusi masing-masing.

Iklan
Iklan

“Apabila kes sampai ke mahkamah, orang sudah letih, sudah tua, lupa fakta kes, dan akhirnya putus asa untuk meneruskan. Itu bukan salah mahkamah, memang begitu prosesnya. Sebab itulah kita wujudkan tribunal ini,” katanya kepada pemberita selepas Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Sabah pada Khamis.

Menurut Azalina, tribunal itu akan berfungsi selepas siasatan atau tindakan dalaman diselesaikan oleh institusi berkaitan seperti Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau Kementerian Pertahanan.

Iklan

“Undang-undang ini tidak akan mengganggu sistem sedia ada. Sebagai contoh, KPM mungkin mempunyai keputusan mereka sendiri. Tribunal akan berperanan apabila ada rayuan atau ketidakpuasan hati terhadap keputusan tersebut,” jelasnya.

Namun, tegas beliau, tribunal ini hanya mengendalikan kes sivil manakala kes yang mengandungi elemen jenayah seperti kecederaan atau penderaan akan terus dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah jenayah.

Iklan

“Jika ada unsur jenayah, ia kekal di bawah siasatan polis dan tindakan mahkamah jenayah,” tambah beliau.

RUU ini disasarkan membolehkan tribunal menyelesaikan setiap kes buli dalam tempoh antara 60 hingga 90 hari, sama seperti Tribunal Gangguan Seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kita sedang melihat tempoh maksimum, mungkin 90 hari. Tapi kalau boleh, tribunal ini akan selesai lebih awal,” katanya.

Dengan penyelesaian lebih singkat, mangsa dapat menuntut keadilan lebih cepat dan mengelakkan tekanan berpanjangan akibat proses mahkamah yang rumit dan lama.

Azalina turut memaklumkan bahawa takrif buli dalam RUU ini akan diperluaskan bagi merangkumi bukan sahaja buli fizikal malah psikologi, emosi, siber dan sosial.

“RUU ini akan menetapkan takrifan bagi perkataan ‘buli’, struktur keanggotaan tribunal, peraturan dan peranan tribunal itu sendiri,” jelas beliau.

Menurut Azalina, RUU ini akan dibentangkan di peringkat Kabinet dan drafnya hampir siap, hanya menunggu kelulusan dasar umum oleh Jemaah Menteri.

“Kita bentang esok. Apabila menteri-menteri setuju dengan dasarnya, barulah kita teruskan dengan draf RUU,” katanya.

Sebelum itu, Azalina memaklumkan bahawa Sabah merupakan negeri kedua terakhir penganjuran sesi Town Hall #GenerasiTanpaBuli yang bertujuan mendapatkan maklum balas pelbagai pihak termasuk warga pendidik, PIBG dan NGO.