20 pasukan bersaing rebut gelaran 'Raja Naga' di Resorts World Genting

Iklan
Kejohanan Dragon King 2025 memperkenalkan konsep baharu gabungan tradisi dan inovasi moden dalam seni tarian naga tempatan.

SHAH ALAM - Sebanyak 20 pasukan tarian naga terbaik dari seluruh negara bakal berentap bagi merebut gelaran ‘Dragon King’ sempena Kejohanan Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship yang bakal berlangsung pada 14 Disember ini.

Resorts World Genting (RWG) dalam satu kenyataan berkata, kejohanan julung kali itu akan memberi nafas baharu kepada salah satu seni persembahan paling ikonik di Asia selain mengetengahkan keunikan tarian naga melalui gabungan tradisi dan inovasi moden.

Iklan
Iklan

“Acara ini menghimpunkan pasukan tarian naga terbaik dari seluruh negara dalam persembahan menakjubkan yang menonjolkan kemahiran, kreativiti serta daya ketahanan peserta.

“Setiap pasukan akan mempersembahkan gabungan gerakan harmoni, ketangkasan fizikal dan kreativiti yang diserikan dengan kilauan naga, irama gendang bergema serta aksi akrobatik mengagumkan,” kata kenyataan itu.

Iklan

Antara pasukan yang akan bertanding termasuk Malaysia Yahya Awal Dragon Dance Troupe, Malaysia Khuan Loke Dragon & Lion Dance Association, Persatuan Pendidikan Jasmani Friendship Wilayah Persekutuan dan Persatuan Tarian Naga Ao Feng Gong Skudai, Johor Bahru.

Turut serta ialah Pei De Dragon & Lion Dance Association Kajang, Persatuan Sosial dan Rekreasi Hai Yang Kedah dan Perlis, Malacca Gao Feng Lion & Dragon Dance Athletic Association, Persatuan Tarian Naga & Singa Hong Teck Brickfields, Kuala Lumpur serta Persatuan Penganut Agama Buddha Thai Wat Phra Buddha Jinaraja, Melaka.

Iklan

Selain itu, penyertaan turut diterima daripada Persatuan Qun Sheng Tarian Singa Sabah, Persatuan Kebudayaan Tarian Naga dan Singa Chea Mien Hong Teck Ipoh, Ipoh Chinese Chin Woo Athletic Association, dan Tarian Singa Kwong Ngai Putrajaya.

Resorts World Genting National Luminous Dragon King Championship 2025 bakal menghimpunkan 20 pasukan tarian naga terbaik Malaysia di Arena of Stars pada 14 Disember ini.

Turut memeriahkan kejohanan ialah Pertubuhan Kew Ong Yeah Dragon and Lion Dance Pulau Pinang, Persatuan Kesenian dan Budaya Hua Yi Pulau Pinang, Kelab Tarian Singa dan Naga Xuan Long Shi, Tarian Naga Teochew Eight Districts Association (Johor Bahru) dan Xuan Long Dragon and Lion Dance, Ampang Selangor.

Kejohanan itu juga disertai Malaysia Tan’s Lion and Dragon Dance Association serta Persatuan Kebudayaan dan Rekreasi Kang Yuan Muar, Johor.

Menurut RWG, kejohanan akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 7 malam sebelum diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah yang menawarkan wang tunai keseluruhan RM9,000.

“Juara bakal membawa pulang RM5,000, naib juara RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000 selain trofi serta pingat penghargaan.

“Penonton boleh menyaksikan kejohanan penuh gemilang itu secara langsung di Arena of Stars dengan tiket berharga RM139 bagi tempat duduk ditetapkan dan RM99 bagi tempat duduk bebas, tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4,” katanya.

RWG berkata, kejohanan itu diilhamkan melalui bimbingan Pasukan Tarian Naga dan Singa Persatuan Alumni Sekolah Menengah Katolik yang memperkenalkan segmen rekaan kreatif.

“Setiap pasukan diberi cabaran untuk menghasilkan dan menggabungkan elemen rekaan tersendiri bagi memperkukuh jalan cerita serta koreografi persembahan.

“Inovasi ini menjadikan seni tarian naga sebagai persembahan pelbagai dimensi yang menonjolkan kehalusan seni, daya imaginasi dan warisan budaya sekali gus menghidupkan kisah mempesona,” ujarnya.

RWG turut bertekad mengangkat martabat seni tarian naga ke tahap lebih tinggi dengan merintis pembangunan Kejohanan Naga Gemilang Kebangsaan sebagai acara kebudayaan berkonsepkan sukan.

“Inisiatif ini berpotensi untuk berkembang menjadi sebuah platform yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Usaha itu juga bertujuan memelihara serta mempromosikan warisan seni tradisional yang bernilai sambil menyuntik elemen moden dan semangat kompetitif agar kekal relevan dan menarik minat generasi masa hadapan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi rwgenting.com dan platform media sosial RWG.