Jalan, tembok penahan ombak musnah dihentam air pasang

Iklan
Boon Lye (dua dari kiri) meninjau jalan yang rosak akibat air pasang besar pada Rabu.

PORT DICKSON - Kejadian air pasang besar setinggi tiga meter awal pagi Rabu menyebabkan jalan di Kampung Kuala Lukut Chuah berhampiran Jeti Kalong Mamod di sini rosak dan tidak lagi boleh dilalui oleh kenderaan ringan.

Penduduk setempat, Mohd Azrul Johari, 38, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi turut menyebabkan tembok penahan terjejas.

Iklan
Iklan
Mohd Azrul

“Masa kejadian saya ada di rumah bersama anak. Bangun tidur tengok ombak kuat dan selepas periksa keadaan di luar, semua dah musnah.

"Sebelum ini jalan berkenaan memang ada yang rosak tapi tak teruk, namun ombak kuat semalam menyebabkan permukaan jalan retak dan tidak boleh dilalui,” katanya pada Khamis.

Iklan

Nelayan itu berkata, ini kali pertama kejadian sebegitu berlaku sejak dia menetap di kawasan berkenaan sejak kecil.

“Sebelum ini air pasang biasa sahaja tapi kali ini memang luar biasa.

Iklan

"Saya harap jalan yang rosak ini dapat dibaiki segera. Jalan ini bukan sahaja digunakan oleh penduduk kampung dan nelayan tetapi juga oleh pengunjung yang datang untuk memancing di kawasan jeti,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chuah, Khairul Nizam Khairudin berkata, kejadian tersebut telah dimaklumkan kepada pejabat daerah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang telah membuat lawatan ke lokasi sekitar jam 8.30 pagi Rabu.

Khairul Nizam

Katanya, baik pulih jalan berkenaan berdepan sedikit kekangan kerana jeti tersebut dibina di atas tanah milik individu.

“Kita faham pihak kerajaan perlu berurusan dengan pemilik tanah sebelum sebarang kerja pembaikan dapat dijalankan. Saya juga sudah dua kali membuat permohonan baik pulih, termasuk tahun ini.

"Sebelum ini, sekitar tahun 2014 pihak JPS pernah membina struktur penahan batu, namun hentaman ombak besar akibat fenomena air pasang setiap tahun menyebabkan kerosakan berulang.

"Penahan yang dibuat dahulu hanya menggunakan dawai, jadi bila terkena air masin, ia berkarat dan rosak. Sudah tiba masanya struktur baharu yang lebih kukuh dibina bagi melindungi jalan dan jeti,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Yew Boon Lye berkata, kerja baik pulih membabitkan jalan rosak dan pembinaan tembok penahan ombak telah diberi perhatian oleh pihak berwajib.

Kejadian air pasang besar setinggi tiga meter awal pagi Rabu menyebabkan jalan di Kampung Kuala Lukut Chuah rosak teruk.

“Buat masa ini, kejadian ini telah dimaklumkan kepada pihak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan beliau telah mengarahkan jabatan berkenaan untuk mengambil tindakan segera.

"Pejabat Daerah akan mengambil tindakan untuk membersihkan kawasan ini, namun perlu menunggu hingga minggu hadapan disebabkan fenomena air pasang dijangka berterusan dalam tempoh tersebut,” katanya.

Katanya, JPS sedang membuat anggaran kos untuk membina penahan ombak bagi mengelakkan perkara ini berlaku lagi pada masa akan datang.

Pada masa sama, nelayan turut dinasihatkan agar tidak turun ke laut buat sementara waktu susulan keadaan laut bergelora dan ombak kuat sebagai langkah keselamatan.