SHAH ALAM - Sekiranya dakwaan MIC bakal keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada November ini menjadi kenyataan, ia dilihat membuka ruang terbaik untuk membina semula BN pasca 2018.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, BN masih ada Friends of BN yang juga mewakili kaum India seperti Makkal Sakti, Parti India Bersatu Malaysia (MIUP), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Parti Punjabi dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
"MIC akan keluar BN bulan hadapan. Itu pendedahan bekas Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. MIC tidak menafikannya.
"Jika benar, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan telah mencipta sejarah kerana bawa MIC keluar dari BN.
"BN memang tidak boleh mengelak untuk ditinggalkan. Banyak parti tinggalkan BN selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bahkan ada yang meninggalkan UMNO secara berkumpulan dan individu. Itu tidak membunuh BN," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, Tajuddin mendakwa bahawa MIC memutuskan untuk keluar daripada BN pada November depan.
Pendedahan itu dimaklumkan menerusi hantaran video di akaun TikTok milik Tajuddin.
Tambah Mohd Puad, MIC membantah parti-parti Friends of BN tersebut menjadi ahli penuh BN sedangkan MIC sendiri gagal menarik sokongan orang India kepada BN.
"Maka biarlah MIC pergi, tidak mungkin MIC bergerak solo. Ia masih memerlukan sokongan orang Melayu. Bolehkah MIC mendapat sokongan Melayu melalui Perikatan Nasional (PN)?
"Jangan nanti yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran. BN jalan terus," katanya.