KOTA KINABALU – Saksi ke-27 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia terlibat melakukan spot check atau pemeriksaan mengejut terhadap loker pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi yang juga kanak-kanak ke-18 memaklumkan perkara itu dalam keterangannya secara in camera di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, pada Rabu.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi berkenaan merupakan pelajar junior yang tinggal sebilik dengan Zara Qairina di asrama sekolah.
“Pada malam sebelum kejadian 15 Julai lalu, saksi berkata dia sedang membaca novel apabila mendengar suara pelajar dari depan asrama memanggil Zara untuk datang ke bilik sebelah berjumpa pelajar senior.
“Pada ketika itu, Zara sedang menulis sesuatu di depan lokernya. Saksi mengesahkan bahawa seorang ahli asrama telah kehilangan dompet dan berjumpa dengannya serta seorang lagi rakan sebilik untuk mengadu mengenai kehilangan barang tersebut.
“Saksi berkata rakan sebilik yang kehilangan barang itu mengesyaki Zara kerana mereka rapat. Menurut saksi, selepas pelajar tersebut mengadu mengenai kehilangan barang, seorang rakan sebilik membawanya bersama rakan lain untuk melakukan spot check terhadap loker Zara,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.
Katanya lagi, saksi menyatakan bahawa rakan sebilik ada meminta kebenaran pelajar senior sebelum mereka melakukan spot check ke atas loker Zara.
“Terdapat empat rakan sebilik Zara yang terlibat dalam spot check. Saksi hanya terlibat memeriksa loker Zara dan melihat rakan sebilik lain memeriksa beg serta seluar Zara.
“Ada juga rakan sebilik lain di dalam bilik ketika itu yang hanya melihat mereka membuat spot check. Namun saksi berkata mereka tidak menemui sebarang barang yang hilang.
“Saksi berkata dia nampak seorang rakan sebilik menjumpai pin bendera Malaysia di dalam beg dan seluar track suit warna hitam milik Zara. Saksi berkata seorang rakan sebilik ada menceritakan kepadanya tentang insiden sebelum itu, di mana sekeping kad ‘calling’ milik seorang pelajar junior, rakan sekelas Zara, pernah dijumpai di tempat Zara.
“Saksi mendengar cerita mengenai insiden itu daripada seorang rakan sebilik lain pada waktu petang kira-kira pukul 4 petang hari yang sama, 15 Julai 2025,” katanya.
Mohd Syarulnizam berkata, saksi mengesahkan bahawa pelajar yang menjumpai dua pin lencana bendera Malaysia semasa spot check di beg dan seluar Zara serta pelajar yang memberitahu tentang kehilangan kad ‘calling’ pelajar lain adalah orang yang sama.
“Saksi menyatakan dia tidak pergi bersama ke bilik sebelah semasa Zara berjumpa pelajar senior dan tidak mengetahui apa yang berlaku di sana.
“Saksi berkata Zara pulang dari bilik sebelah sekitar pukul 11 malam. Saksi nampak Zara terus baring di lantai sambil menangis di depan almari. Zara menjerit sambil berkata, ‘Aku tak curi, bah. Sial!’.
“Sebelum saksi tidur, dia masih melihat Zara di lantai. Semua ahli dorm berada di dalam bilik dan mereka mendengar Zara berkata demikian. Tiada ahli dorm yang cuba menenangkan atau memujuk Zara semasa dia menangis.
“Saksi menyatakan ketika itu lampu bilik sudah ditutup dan Zara tidak menggunakan bantal ketika baring di lantai. Saksi berkata itu kali pertama dia melihat Zara menangis dan menjerit di dalam dorm,” katanya.
Tambahnya lagi, saksi mengetahui mengenai amalan atau aktiviti ‘barcode’ (toreh lengan) sejak awal tahun 2025 dan pernah ternampak kesan parut di tangan beberapa pelajar semasa waktu persekolahan.
“Apabila saksi bertanya kepada pelajar berkenaan mengenai kesan parut di lengan, pelajar itu menjawab, ‘Cuma barcode saja ni’,” katanya.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya, Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.