LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) melangkah ke era baharu apabila menjalin kerjasama strategik bersama Ryt Bank, bank pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) sebagai Rakan Perbankan Digital Rasmi serta Rakan Rasmi Teknologi VAR Liga Malaysia (Liga-M).
Perkongsian bersejarah ini bukan sekadar menandakan kemasukan teknologi moden dalam bola sepak tempatan, malah membuka lembaran baharu hubungan antara dunia kewangan digital dan industri sukan negara yang berteraskan inovasi serta semangat kebangsaan.
Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kolaborasi bersama Ryt Bank membuktikan bahawa Liga Malaysia terus menjadi platform berimpak tinggi bagi jenama korporat untuk mendekati masyarakat menerusi sukan paling popular negara.
“Kami amat berbesar hati menerima Ryt Bank sebagai sebahagian daripada keluarga besar MFL. Kerjasama ini menggambarkan hala tuju baharu liga yang lebih moden, profesional dan berteraskan inovasi,” katanya pada Rabu.
Menurutnya lagi, gabungan bersama institusi perbankan digital terkemuka itu turut memperkukuh matlamat MFL untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah daya saing Liga Malaysia agar terus relevan serta menarik minat lebih banyak penyertaan sektor korporat.
“Kerjasama ini menyuntik semangat baharu kepada MFL sebagai pengelola liga profesional untuk memantapkan lagi struktur pengurusan dan memperkasa pembangunan bola sepak tanah air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi menyifatkan kolaborasi bersama MFL sebagai satu penghormatan besar bagi jenama yang berpaksikan teknologi serta nilai kemanusiaan.
“Bola sepak menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang. Semangat ini seiring dengan aspirasi Ryt Bank untuk menjadikan teknologi kewangan lebih inklusif dan bermakna,” katanya.
Melvin berkata, komitmen sebagai Rakan Teknologi VAR Liga Malaysia menjadi simbol kepada usaha bank itu dalam menyokong ketelusan dan keadilan dalam sukan, selaras dengan prinsip ‘do the Ryt thing’ yang menjadi teras organisasi mereka.
“Apabila teknologi dan semangat rakyat bergabung, kita mampu melakukan perkara yang betul untuk sukan, untuk negara,” katanya.