Hogoh Jelai hanyalah simbol politik kebencian, bukan budaya orang Pahang - Exco

Iklan
Hantaran Fadzli di Facebook pada Rabu. Gambar kecil: Fadzli

KUANTAN – Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan serta Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal menegaskan Himpunan Hogoh Jelai hanyalah simbol politik kebencian dan bukan budaya orang Pahang.

Beliau berkata, pihak yang membawa perkara itu bukan berasal dari Pahang.

Iklan
Iklan

“Yang berkokok bawa pun bukan orang Pahang. Mereka datang dengan budaya doktrin fitnah dan kebencian, tatkala mereka sendiri bergelumang krisis identiti, gagal mentadbir dan membangunkan negeri sendiri (SG4), kini mahu mengganggu negeri orang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu berkata, prestasi kerajaan negeri Pahang sangat cemerlang dalam setiap indeks.

Iklan

Jelasnya, ekonomi negeri berkembang secara progresif, syiar Islam subur, suasana inklusif dan kondusif, pembangunan pesat manakala kebajikan rakyat dijaga secara komprehensif merangkumi semua lapisan umur.

Fadzli menambah, segala indikator tersebut meletakkan Pahang jauh lebih baik berbanding prestasi SG4.

Iklan

“Tiada janji, lihat bukti. Rumah sendiri pun pahat sudah berbunyi... ada hati nak hogoh rumah orang.

“Syukur rakyat Pahang kekal matang, bijak menilai dan tidak mudah digoyah dengan politik kebencian,” katanya.

Himpunan Hogoh Jelai anjuran Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung di Jalan Betau–Cameron Highlands, Sungai Koyan pada Ahad menyaksikan kehadiran pimpinan utama PN antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Himpunan itu dikatakan gagal apabila jumlah kehadiran penyokong jauh lebih rendah daripada jangkaan awal.

Laporan PahangMedia menyebut hanya kira-kira 2,500 orang hadir pada program itu berbanding sasaran awal 30,000 orang dalam kalangan penyokong PN.