MELAKA – Keceriaan sebuah keluarga menyambut Deepavali malam Ahad lalu bertukar cemas apabila lantai beranda rumah warisan berusia 100 tahun di Kampung Chetti, Gajah Berang itu tiba-tiba runtuh.
Kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu berlaku ketika lebih 25 ahli keluarga sedang berkumpul dan bersantai di ruang beranda rumah berkenaan.
Penghuni generasi ketiga rumah terbabit, S Divya Darshini, 24, berkata, suasana meriah sambutan perayaan bertukar panik apabila lantai kayu mendap secara tiba-tiba disusuli bunyi kuat hingga menyebabkan mereka terjatuh.
"Ketika kami sedang berkumpul, tiba-tiba terdengar bunyi kuat sebelum lantai beranda terus mendap dan roboh.
"Mujur tiada dalam kalangan kami yang cedera parah, namun sedih memandangkan usia rumah ini mencecah ratus tahun," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Tambahnya, struktur lantai beranda yang runtuh sepenuhnya dipercayai tidak mampu menampung beban berat tetamu yang ramai, malah beberapa tiang turut menunjukkan kesan retak.
Menurutnya, susulan kejadian itu, keluarganya telah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada jam 9.31 malam bagi membolehkan pihak berkuasa menilai tahap keselamatan rumah berkenaan.
Malah katanya, kediaman yang terletak dalam kawasan Warisan Dunia UNESCO itu bukan sekadar tempat tinggal tetapi lambang sejarah dan identiti masyarakat Chetti di Melaka.
"Rumah ini warisan keluarga kami dan sebahagian daripada sejarah Kampung Chetti.
"Harap pihak berwajib dapat segera menilai keadaan struktur dan bantu membaikinya sebelum berlaku sesuatu yang lebih buruk," katanya lagi.