PELAKON popular, Uqasha Senrose dilaporkan telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, hadir ke mahkamah pada Rabu sekitar jam 9 pagi tadi bagi menghadiri prosiding sebutan kes cerai kali pertama.
Menurut sumber terdekat, rumah tangga pasangan berkenaan dilaporkan mula bergolak sejak April lalu, namun situasi itu bukan berpunca daripada kehadiran orang ketiga.
Sumber itu turut memaklumkan bahawa pasangan berkenaan tidak lagi tinggal sebumbung, dengan Uqasha kini menetap di kediaman ibunya.
Sebelum ini, beberapa hantaran berbaur luahan hati yang dimuat naik pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu menjadi perhatian netizen, selain mencetuskan spekulasi mengenai keadaan rumah tangganya.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Janda Baik, Pahang. Pasangan itu turut dikaruniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.