BRUSSELS - Selama beberapa dekad, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sentiasa siap siaga untuk menentang musuh.
Negara anggotanya melabur dalam jumlah yang besar untuk bekalan senjata canggih termasuk pesawat siluman, kapal selam rahsia dan kapal perang yang berfungsi sebagai ‘perisai Barat’.
Kuasa yang satu ketika dulu gah mula goyah, baru-baru ini setelah serangan dron dilancarkan Rusia ke atas Ukraine yang didakwa menceroboh ruang udara Poland pada 10 September lalu.
NATO terpaksa mengerahkan jet pejuang F-16 dan F-35 bersama sistem peluru berpandu Patriot untuk menangkis ancaman berpotensi tersebut.
Insiden pencerobohan itu memberi tamparan hebat kepada Barat kerana sistem pertahanan bernilai trilion dolar yang dilabur selama ini gagal untuk melindungi sempadan NATO.
Ia disusuli dengan penampakan pesawat tanpa pemandu (UAV) tidak dikenali di lapangan terbang Norway, Denmark dan Jerman hingga menyebabkan syarikat penerbangan terpaksa menanggung kerugian berjumlah jutaan euro akibat penutupan operasi.
Rangkaian media di Eropah kemudiannya cuba menakut-nakutkan penduduk di blok berkenaan tentang kemungkinan serangan Rusia.
Komuniti di Romania, Poland, negara Baltik dan sepanjang sempadan timur Kesatuan Eropah (EU) mula panik kerana beranggapan tiada tempat yang benar-benar selamat.
Sukar untuk membayangkan skala kemusnahan sekiranya tentera Rusia benar-benar memperluaskan kempen ketenteraan mereka.
Persoalannya sekarang, adakah pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS) bersama teknologi tentera moden mereka berupaya menghalang kemaraan Moscow.
Perang yang berlarutan selama lebih tiga tahun di Ukraine telah membuktikan jawapannya adalah tidak malah Presiden Donald Trump dilihat semakin berpihak kepada Kremlin, sekali gus memberi tekanan kepada Kiev.
Ukraine terus dihujani serangan dron dan kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu saling bertindak balas manakala Rusia terus mara ke wilayah Kiev yang ketika ini masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan ketenteraan Barat.
Ukraine jadi buah catur
Adakah Eropah bersedia untuk berperang jika konflik Kiev-Moscow menjerumuskan rantau tersebut ke kancah peperangan lebih besar?
Kaji selidik oleh Gallup pada tahun lalu menunjukkan majoriti responden memberikan jawapan ‘tidak’.
Di Poland, sebanyak 45 peratus responden secara sukarela sedia mempertahankan tanah air mereka.
Di Sepanyol, angka yang dicatatkan adalah sebanyak 29 peratus, Jerman (23 peratus), Itali (14 peratus) dan EU secara purata (32 peratus).
Ukraine sendiri berdepan kekurangan anggota tentera dan kerahan askar simpanan menjadi pilihan semakin tidak popular berikutan ramai yang cuba mengelakkan diri daripada bertempur di medan perang.
Kekangan itu mengehadkan keupayaan Kiev untuk memperkukuhkan benteng pertahanan atau melancarkan serangan balas lebih agresif.
Adakah negara anggota NATO di sayap timur juga akan senasib dengan Ukraine yang hanya dibekalkan senjata oleh sekutu Barat mereka.
Ia mungkin bakal mencetuskan perpecahan dalam pakatan ketenteraan tersebut.
Blok Eropah hanya mempunyai dua pilihan untuk berasa 'selamat' iaitu terus berbelanja trilion euro untuk meningkatkan keupayaan tentera mereka atau menghentikan konflik Ukraine-Rusia dengan menyalurkan bantuan dana dan sokongan ketenteraan kepada Kiev.
Sudah tiba masanya untuk bertindak sebelum api kecil ini marak menjadi peperangan lebih dahsyat.
------
INFO:
>Dianggarkan terdapat kira-kira 1.47 juta anggota tentera di rantau Eropah termasuk Britain.
>NATO pula mempunyai jumlah keseluruhan 3.44 juta askar aktif.
>Menjelang akhir 2024, jumlah tentera Rusia dikerah ke Ukraine mencecah kira-kira 700,000 orang.
>Menurut data Military Balance 2025, angkatan tentera terbesar adalah di Perancis (202,200) disusuli Jerman (179,850), Poland (164,100), Itali (161,850), Britain (141,100), Greece (132,000) dan Sepanyol (122,200).
>Anggaran awal dibuat badan pemikir Bruegel agar Eropah menjadi benteng pertahanan yang boleh dipercayai tanpa sokongan AS, tentera Eropah memerlukan sekurang-kurangnya 1,400 kereta kebal, 2,000 kenderaan tempur infantri dan 700 artileri serta sejuta peluru 155mm untuk tempoh tiga bulan pertama pertempuran sengit.