Ibu bapa perlu jadi 'guru' pertama

Iklan
Ibu bapa perlu kembali menjadi guru pertama. Mendidik tentang akhlak, adab, empati dan batas pergaulan. Gambar hiasan 123rf.

BERITA seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dirogol beberapa pelajar lelaki dan lebih menyakitkan, dirakam pula seolah-olah ia satu hiburan murahan menimbulkan kegemparan rakyat Malaysia baru-baru ini.

Lebih menakutkan tragedi itu bukan berlaku di luar, sebaliknya di dalam bilik darjah, di sekolah dan pada waktu sesi persekolahan.

Iklan
Iklan

Bagaimana perasaan seorang ibu yang mendapat tahu anak perempuannya menjadi mangsa rogol, melalui video yang tersebar?

Bagaimana seorang guru mampu berdiri di hadapan kelas dan berpura-pura tiada apa-apa? Dan bagaimana pula masyarakat boleh terus tidur lena, seolah-olah ini bukan masalah mereka?

Iklan

Insiden di Melaka hanyalah satu daripada rentetan tragedi yang berlaku di sekolah negara kita baru-baru ini.

Kita juga digemparkan dengan kes pelajar perempuan ditikam hingga maut oleh pelajar lelaki di Petaling Jaya, dan murid darjah empat yang meninggal dunia secara mencurigakan di tandas sekolah.

Iklan

Semuanya berlaku dalam institusi yang sepatutnya melindungi, mendidik dan membina masa depan mereka.

Mengapa semua ini berlaku? Jelas anak-anak kita semakin hilang arah. Media sosial telah menjadi ‘guru’ sebenar, mendidik mereka tentang keganasan, seks bebas, buli dan maki hamun tanpa batasan, tanpa empati. Sedang ibu bapa pula semakin jauh, tenggelam dalam dunia kerja dan tekanan ekonomi, membiarkan anak membesar sendiri di hadapan skrin.

Mungkin ramai yang berkata, “Anak saya takkan buat begitu.” Tapi kebenarannya, kita sendiri tidak kenal siapa anak kita.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kes buli dalam kalangan pelajar semakin meningkat sehingga turut menyebabkan kematian mangsa.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan sebanyak 7,681 kes buli tahun lalu, berbanding 6,528 kes pada 2023 dan 3,883 kes pada 2022.

Apabila tragedi demi tragedi melibatkan pelajar berlaku di sekolah, ramai mula menuding jari kepada sistem pendidikan negara yang didakwa semakin longgar atau terlalu ‘memanjakan’ pelajar.

Persoalannya, apakah cukup hanya dengan menghukum pelajar yang bersalah dan terus bergerak seolah-olah tiada apa berlaku? Bagaimana dengan mangsa? Bagaimana dengan pelajar lain yang menyaksikan semua ini?

Sudah tiba masa kita semua bangkit, hidupkan semula ‘hati’ dalam pendidikan. Pendidikan moral dan sahsiah perlu jadi nadi utama di sekolah.

Bukan sekadar subjek, tetapi satu budaya. Kita perlu ajar anak-anak mengenal empati, hormat dan nilai diri, bukan hanya mengejar A dalam peperiksaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga baru-baru ini menegur sistem pendidikan negara yang disifatkannya perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada pencapaian akademik tetapi juga kepada pembentukan nilai moral dan kemanusiaan yang seimbang.

Wajibkan program keibubapaan aktif dan berterusan. Ibu bapa bukan tetamu dalam kehidupan anak-anak, mereka adalah akar. Kerajaan dan sekolah perlu bekerjasama mendekatkan kembali ibu bapa kepada peranan mereka yang sebenar.

Ibu bapa perlu kembali menjadi guru pertama. Mendidik tentang akhlak, adab, empati dan batas pergaulan. Semua itu mesti bermula dari rumah, sekolah hanya menyambung, bukan mengganti.

Anak yang kurang kasih sayang, kurang pantauan, terlalu bebas dengan gajet, atau dibiarkan membesar tanpa panduan lambat laun akan meletup dalam bentuk krisis akhlak seperti yang kita lihat hari ini.

Perketat keselamatan fizikal dan emosi di sekolah. Setiap kelas, tandas dan kawasan sunyi perlu diawasi secara aktif. Selain itu, lebih banyak kaunselor, saluran aduan sulit dan sistem pemantauan harus diwujudkan dengan serta-merta.

Lahirkan pelajar celik digital yang beretika. Media sosial bukan musuh, tetapi jika tidak diajar dengan betul, ia boleh jadi pisau yang membunuh nilai diri. Pendidikan literasi digital dan tanggungjawab siber perlu dijadikan keutamaan.

Cukuplah tragedi demi tragedi yang berlaku hari ini. Jangan tunggu anak kita sendiri menjadi mangsa atau lebih menyayat hati, menjadi pelaku.

*Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian