[VIDEO] Inkues: Zara Qairina pernah tunjuk 'barcode' di lengan - Saksi

Iklan

KOTA KINABALU - Saksi ke-26 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa pelajar Tingkatan Satu itu pernah menunjukkan kesan 'barcode' (toreh lengan) di lengannya.

Saksi yang juga kanak-kanak ke-17 berkata demikian ketika memberi keterangannya secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Iklan
Iklan

Saksi ke-26 memberitahu Mahkamah Koroner bahawa Zara Qairina pernah menunjukkan kesan 'barcode' (toreh lengan) di lengannya.

Peguam Rizwandean M Borhan berkata, saksi menyatakan bahawa dia adalah rakan sebilik Zara Qairina dan hanya mengenalinya sebagai rakan biasa, bukan secara rapat.

Iklan

"Saksi mengatakan Zara merupakan seorang yang ceria, periang dan hormat senior. Saksi tidak pernah nampak Zara sedih dan murung.

"Sepanjang ingatan saksi, dia tidak pernah melihat Zara mempunyai sebarang konflik dengan pelajar lain di sekolah. Saksi tidak pernah melihat Zara menjerit atau menangis, mahupun dimarahi atau diganggu oleh sesiapa selain daripada malam 15 Julai 2025," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa.

Iklan

Katanya lagi, saksi mengesahkan mengetahui terdapat beberapa pelajar pernah membuat ’barcode’ di sekolah.

"Saksi mengatakan yang Zara pernah menunjukkan kesan di lengannya. Kami bertanya kepada saksi, sebelum ini dia juga tahu tentang barcode dan berkata, orang lain juga pernah melakukannya.

"Dia juga berkata, bagaimana Zara melakukan dan bila dilakukan, dia tidak tahu. Dia cuma tahu yang Zara ada tunjukkan kesan di lengannya dan saksi mengatakan, dia tahu orang lain pernah melakukannya," katanya.

Bagaimanapun, Rizwandean memaklumkan saksi sebelum ini juga pernah menyatakan perkara sama bahawa pelajar lain ada melakukan perbuatan 'barcode' tersebut.

"Ada juga saksi yang mengatakan yang banyak pelajar melakukan barcode dan ia menjadi satu 'trend' untuk pelajar sekolah," katanya.

Selain itu, Rizwandean memaklumkan bahawa, saksi mengesahkan Zara bercita-cita ingin menjadi Badar dan mengatakan pelajar yang ingin menjadi Badar mestilah berdisiplin dan hafal surah-surah Al-Quran.

"Zara mengidolakan salah seorang pelajar senior yang merupakan seorang Badar," katanya.

Bercakap mengenai kejadian yang berlaku pada malam 15 Julai lalu, Rizwandean berkata, saksi menyatakan selepas kelas ulang kaji, dia kembali ke asrama bersama pelajar-pelajar lain.

"Kemudian saksi turun pergi mencuci pakaian di tandas sebelum masuk ke bilik pada kira-kira jam 10 malam. Sebelum masuk tidur, saksi nampak Zara berada dalam bilik asrama dan sedang duduk di atas lantai hadapan almarinya.

"Saksi tidak perasan apa yang Zara lakukan namun dia nampak Zara duduk di situ," katanya.

Katanya lagi, saksi menyatakan Zara Qairina pernah membenarkan dia melihat diarinya yang berwarna hijau gelap.

"Saksi ingat ada membaca tulisan luahan Zara mengenai seorang kawannya," katanya sambil memaklumkan prosiding akan bersambung pada Rabu.

Dalam pada itu, peguam memaklumkan pada Jumaat lalu, Pakar Pemeriksa Tulisan dan Dokumen iaitu Dr Linthini Gannetion telah selesai dengan sesi keduanya melakukan pemeriksaan tulisan dan dokumen.

Rizwandean bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.