Inkues Zara Qairina: Saksi sebak, menangis kenang pengalaman pahit semasa jadi pelajar junior

Iklan
Rizwandean bersama rakan sepasukannya ketika di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Saksi ke-25 dalam Inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia tidak percaya terhadap tuduhan mencuri yang dikenakan ke atas pelajar Tingkatan Satu itu.

Saksi yang juga kanak-kanak ke-16 berkata demikian ketika memberi keterangan secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Iklan
Iklan

Peguam Rizwandean M Borhan berkata, saksi menyatakan bahawa Zara Qairina seorang yang suka menolong orang dan tidak percaya terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadap pelajar itu.

“Saksi juga mengatakan Zara pernah memberikan semangat kepadanya untuk belajar. Saksi pernah mendengar orang berkata Zara mahu menjadi Badar serta rapat dengan seorang pelajar senior.

Iklan

“Saksi menganggap Zara hanya menjadikan pelajar senior itu sebagai idola,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Selasa.

Katanya lagi, saksi menyatakan bahawa semasa menjadi pelajar junior, dia juga pernah disuruh oleh pelajar senior membawa baju dari bilik seterika pakaian ke bilik mereka dan ia berlaku beberapa kali.

Iklan

“Saksi juga berkata dia tahu tentang kewujudan MA (Mesyuarat Aras) di asrama dan dia pernah mengalaminya apabila dipanggil oleh pelajar senior secara beramai-ramai.

“Akibat daripada MA itu, saksi sangat terkesan sehingga hari ini kerana pelajar senior kerap menyindirnya apabila bertemu di kawasan sekolah.

“Saksi berkata, dia pernah disindir oleh pelajar senior kerana merupakan seorang Badar dan sering merampas telefon pelajar lain yang dibawa ke sekolah. Mereka menyindir saksi dengan kata-kata ‘tu na tu jibam’.

“‘Jibam’ bermaksud ‘pe-report’ (orang yang suka melaporkan). Saksi buat tidak tahu terhadap komen mereka,” katanya.

Menurut Rizwandean lagi, saksi memaklumkan bahawa pelajar senior sering menunjukkan contoh tidak baik kepada pelajar junior dan walaupun sudah dinasihati, mereka tetap melakukan perkara yang sama.

“Saksi menyatakan bahawa budaya tuduh-menuduh serta tindakan menyerbu atau menyoal siasat pelajar junior dengan cara marah-marah tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Katanya lagi, ketika memberikan keterangan, saksi dilihat sebak dan menangis apabila mengenang kembali pengalaman pahit semasa menjadi pelajar junior, termasuk kejadian yang dialaminya ketika dikenakan dalam MA.

“Saksi berkata, ada seorang guru sekolah pernah memberi nasihat umum kepada pelajar senior supaya menjaga percakapan dan tidak menggunakan bahasa kasar kerana pelajar junior akan meniru tingkah laku mereka.

“Saksi juga menyatakan bahawa warden kurang mengambil berat di asrama kerana jarang membuat pemeriksaan. Menurut saksi, selepas kes ini barulah warden mula aktif memeriksa asrama dengan menaiki aras untuk memantau pelajar,” jelasnya.

Rizwandean bersama rakan pasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.