Pandu Land Rover secara melulu, lelaki ditahan sebabkan kemalangan 5 kenderaan

Iklan
Video tular memaparkan kemalangan di NKVE pada Sabtu.

PETALING JAYA - Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis selepas dipercayai memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda secara melulu hingga menyebabkan kemalangan membabitkan lima kenderaan di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.17 petang apabila kenderaan jenis Land Rover berwarna hitam dipandu suspek secara melulu terbabas ke kanan jalan.

Iklan
Iklan

“Sebuah lori yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang memperlahankan kenderaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shamsudin berkata, kemalangan berkenaan melibatkan dua buah lori dan tiga buah kereta.

Iklan

“Siasatan awal dijalankan oleh Unit Siasatan Lebuhraya Zon Tengah sebelum kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

“Susulan kejadian, polis telah menahan pemandu Land Rover berkenaan dan hasil semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu secara berbahaya dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” tegasnya.