Dua lelaki didakwa kes cubaan bunuh

Iklan
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen pada Selasa

SHAH ALAM - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki dalam kes tembak di sekitar daerah ini pada minggu lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, G Pavittiran, 24, dan R Kalai Selvan, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan yang dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, Pavittiran bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan dengan mengetahui ia boleh menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 29 tahun.

Perbuatan dilakukan pemandu lori itu di Taman Bendahara di sini kira-kira jam 11.10 malam, 7 Oktober lalu.

Iklan

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, Kalai Selvan yang juga tukang gunting rambut pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di sebuah kedai di Jalan Teluk Piah di sini kira-kira jam 3 petang hari sama.

Iklan

Kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 307 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman sama jika tiada peruntukan nyata dibuat.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin tidak menawarkan sebarang kos ikat jamin dan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Bagaimanapun, peguam K Shalvin memohon kos jaminan minimum kerana kedua-dua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Nurul Mardhiah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 24 November depan.

Dalam pada itu, seorang pemandu lori turut dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol, kelopak dan tiga peluru tanpa kebenaran di sekitar daerah ini 12 Oktober lalu.

Tertuduh, R Suresh, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api( Penalti Lebih Berat) 1971 itu.

Jumaat lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan, seramai 10 individu dipercayai ahli kongsi gelap diberkas bagi membantu siasatan kes tembak seorang lelaki di taman perumahan itu.

Siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca akibat dendam, perselisihan faham dan perebutan kawasan aktiviti pengedaran dadah.

Mangsa mengalami kecederaan di perut akibat ditembak dari jarak dekat ketika berada dalam sebuah lori dan kini dilaporkan stabil.

Polis turut merampas sepucuk pistol automatik jenis Stoeger Cougar, beberapa butir peluru dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - Bernama