Pelajar Palestin tidak dapat hadiri konvokesyen, perjalanan disekat Israel

Iklan
Moath (tiga dari kiri) memegang kemeja T yang dihadiahkan penyelianya, Mohd Nazli (tiga dari kanan) dan Zalailah (dua dari kiri) selepas menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan di UMT.

KUALA NERUS - Seorang pelajar Palestin tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini selepas berdepan sekatan perjalanan oleh pihak berkuasa Israel yang menghalang beliau keluar dari wilayah bergolak itu.

Pelajar berkenaan, Moath Abdi Kareem Abu Al-Rob, 41, yang menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perakaunan, sepatutnya hadir menerima skrol pada Majlis Konvokesyen UMT Ke-23 yang dijadual berlangsung pada 26 Oktober ini.

Iklan
Iklan

Moath yang berasal dari Qabatia, utara Tebing Barat, berkata, perjalanan keluar dari Palestin ke Malaysia bukan perkara mudah apabila perlu melalui sekatan ketat serta kawalan berlapis oleh pihak berkuasa Israel.

Menurutnya, situasi itu turut menjejaskan perjalanan akademiknya apabila sempadan antara Palestin dan Jordan ditutup secara mendadak, menyebabkan beliau terlepas penerbangan ke Malaysia untuk menghadiri sesi viva (peperiksaan lisan) terakhir di UMT.

Iklan

"Sempadan antara Palestin dan Jordan ditutup secara tiba-tiba oleh tentera Israel. Saya terlepas semua penerbangan ke Malaysia termasuk penerbangan domestik dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.

"Saya terpaksa menunggu dan mencuba semula keesokan harinya. Syukurlah akhirnya saya berjaya tiba di Malaysia pada percubaan kedua," katanya menerusi perkongsian video di sini pada Selasa.

Iklan

Moath berkata, setiap kesukaran yang dilalui menjadikan beliau lebih tabah dan yakin bahawa pendidikan bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya satu perjuangan untuk mengangkat martabat masyarakat Palestin.

"Pendidikan bagi kami bukan hanya tentang kejayaan diri, tetapi cara untuk melindungi masa depan bangsa. Ini adalah perjuangan kami melalui ilmu," ujarnya.

Beliau yang menamatkan pengajian di bawah seliaan Prof Madya Dr Mohd Nazli Mohd Nor dan Prof Dr Zalailah Salleh, memulakan pengajiannya di UMT pada Januari 2021 sebelum kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian pada Januari lalu.

Walaupun tidak dapat hadir secara fizikal pada majlis konvokesyen itu, Moath tetap meraikan kejayaannya bersama keluarga di tanah air.

Beliau turut menyifatkan pengalaman menuntut ilmu di Malaysia sebagai kenangan berharga yang akan terus diingati serta berhasrat menyumbang kepakarannya dalam pembangunan sektor audit di Palestin bagi memperkukuh ketelusan dan tadbir urus di negaranya.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada penyelia, rakan-rakan serta komuniti UMT yang banyak memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian saya. Walaupun jauh, saya tetap berasa dekat dengan UMT," katanya.