KOTA BHARU – Taktik sindiket penyeludupan kenderaan mewah tidak berkastam yang menyembunyikan kereta di parkir kondominium bagi mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar hasil serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ia adalah hasil operasi yang dijalankan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu di sekitar Johor Bahru pada 1 hingga 5 September lalu.
Menurut beliau, hasil serbuan berjaya menahan tujuh buah kenderaan mewah dipercayai tidak berkastam yang diseludup dari Singapura.
“Antara kenderaan yang dirampas ialah Volkswagen Beetle, Volvo S80, BMW 325i, Maserati Ghibli, Toyota Vellfire, Mercedes Benz dan Honda Jazz dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dianggarkan RM1.2 juta,” katanya semasa sidang akhbar di Pejabat JKDM Kelantan di sini pada Selasa.
Ujar beliau, modus operandi sindiket ialah menyimpan kenderaan terbabit di kawasan parkir kondominium sekitar Johor Bahru sebelum dijual kepada pelanggan di seluruh negara.
Menurutnya, harga jualan kenderaan seludup ini didapati jauh lebih murah iaitu antara 35 hingga 40 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Tambah beliau, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 47 unit kenderaan berstatus tidak berkastam berjaya dirampas dengan nilai rampasan RM5.06 juta melibatkan cukai bernilai RM6.38 juta.
“Peningkatan jumlah rampasan ini hasil maklumat awam dan tindakan pantas anggota kita di lapangan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan kenderaan tidak berkastam bagi membantu usaha JKDM membanteras kegiatan itu.