KULIM - Insiden letupan mercun sehingga menyebabkan 22 cedera di Paya Besar di sini dipercayai dipasang secara terbalik oleh individu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, tindakan individu berkenaan telah menyebabkan serpihan letupan mercun terkena orang ramai yang berada di lokasi.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah malam di kawasan terbuka berhampiran deretan kedai, apabila suspek bersama beberapa rakan dipercayai membeli mercun berharga RM200 daripada sebuah khemah jualan berhampiran.
“Siasatan awal mendapati suspek yang mabuk telah memasukkan mercun berkenaan ke dalam silinder di tepi jalan sebelum rakannya menyalakan sumbu. Namun, mercun itu gagal naik dan meletup di bawah, dipercayai kerana dipasang secara terbalik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Zulkifli berkata, letupan kuat itu menyebabkan 22 individu termasuk orang awam yang melalui kawasan tersebut cedera, manakala seorang mangsa parah akibat retak tengkorak di bahagian dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, rakaman video selama 22 saat kejadian itu tular di media sosial, sekali gus membantu polis mengesan dan menahan kedua-dua suspek di Taman Senangin dan Paya Besar.
Kedua-dua mereka yang mempunyai rekod jenayah lampau ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Unit Forensik D10 telah dihantar ke lokasi bagi mengumpul bahan bukti dan seramai 10 mangsa telah diambil keterangan.
"Polis turut mengenal pasti penjual mercun terbabit dan usaha mengesannya sedang dijalankan,” jelasnya.