SHAH ALAM – Seorang lelaki yang maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor, merupakan pekerja kepada usahawan terkenal, Rozita Ibrahim.
Menerusi hantaran di Instagram, Rozita yang lebih dikenali sebagai Bonda Rozita memaklumkan, mangsa, Ahmad Al Faruq Mohamad Fatihur Rahman, 20, ketika kejadian sedang memandu kenderaan pikap Toyota Hilux milik syarikatnya.
"Hujan lebat yang memilukan. Staf bonda teresak-esak menangis, tidak percaya apa yang mata sendiri menyaksikan.
"Dalam sekelip mata, pokok besar di jalan utama menuju ke Genting tumbang menghempap Hilux milik syarikat.
"Nyawa staf kami yang masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun, diragut dalam tragedi ngeri ini," katanya.
Dalam pada itu ibu kepada usahawan terkenal, Alif Syukri itu turut menyifatkan Allahyarham sebagai anak muda yang rajin dan datang bekerja untuk mencari rezeki halal.
"Penuh semangat, belum sempat meniti dewasa, kini pergi dijemput Ilahi.
"Sedekahkan al-Fatihah kepada arwah Ahmad Al Faruq," katanya.
Sementara itu Bonda Rozita turut membangkitkan isu keselamatan dan penyelenggaraan pokok reput di kawasan berkenaan yang didakwa sering diabaikan pihak berkuasa.
Beliau berharap kerajaan akan mengambil tindakan tegas berikutan insiden berkenaan.
"Kemalangan ini bukan di resort Bonda, tetapi kesan pencemaran sungai dan pokok hutan yang tidak dipantau boleh mengancam tetamu dan binaan.
"Sampai bila nyawa manusia mahu dipandang ringan? Pokok-pokok reput dibiarkan berdiri menunggu masa menimpa mangsa seterusnya,” ujarnya.