Lelaki maut langgar MPV sebelum dirempuh tiga motosikal

Iklan
Keadaan motosikal mangsa yang terbabit dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM 50.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pada Ahad. - Foto: IPD Kluang

KLUANG – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 50.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku pada jam 12.30 tengah malam dan melibatkan tiga motosikal serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Iklan
Iklan

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika MPV jenis Honda Odyssey yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dalam perjalanan dari Batu Pahat menghala ke Johor Bahru.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang seorang lelaki tempatan, Muhammad Syukri Sardon, 24, dalam perjalanan dari arah yang sama, telah hilang kawalan.

Iklan

“Motosikal itu kemudiannya melanggar bahagian belakang MPV tersebut lalu terjatuh di lorong kanan sehingga menyebabkan ia dilanggar oleh tiga motosikal lain di laluan berkenaan yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bahrin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Iklan

Tambahnya, dua lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC, iaitu lelaki tempatan berusia 22 dan 29 tahun mengalami cedera ringan di bahagian badan manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Bahrin berkata kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Saksi juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian hotline 07-7784222, talian terus 07-7766822, tablet DCC 07-7784256 atau 014-365682 bagi membantu siasatan,” katanya.