Remaja lemas semasa mandi di Rimba Rekreasi Lubuk Kawah

Iklan
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto bomba

YAN – Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di kawasan air terjun bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Geo Park Sungai Teroi, Rimba Rekreasi Lubuk Kawah di sini pada petang Ahad.

Mangsa, Mohd Zareef Adam Ramli, 16, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Iklan
Iklan

Menurut Komander Operasi, Mohd Farid Mohd Razali, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 petang memaklumkan kejadian lemas melibatkan seorang remaja lelaki.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 13 anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan kenderaan utiliti,” katanya pada Ahad.

Iklan

Jelas Mohd Farid, semasa di lokasi, dimaklumkan bahawa mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di kawasan rekreasi berkenaan.

Menurutnya, pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian permukaan serta meredah aliran sungai di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Iklan

“Mangsa berjaya ditemukan pada jam 8.40 malam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM yang berada di lokasi. Jenazah kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.

Operasi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), KKM serta penduduk setempat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 malam.