Ewon sedia letak jawatan menteri jika AGC fail rayuan isu 40 peratus hasil Sabah

Iklan
Ewon

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyatakan kesediaannya untuk meletak jawatan dalam Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berhubung 40 peratus hasil Persekutuan.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi yang diluluskan Konvensyen UPKO Bahagian Penampang pada Ahad, yang menuntut beliau berundur daripada Kabinet sekiranya AGC meneruskan rayuan tersebut.

Iklan
Iklan

“Dalam Konvensyen UPKO Penampang ini, satu resolusi telah diluluskan iaitu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan hak 40 peratus Sabah ke atas hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah, sekali gus mengiktiraf hak perlembagaan Sabah.

“Resolusi ini turut meminta saya menyampaikan pendirian parti agar AGC tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan penghakiman tersebut, sebaliknya meminta kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah memuktamadkan persetujuan dalam tempoh 180 hari berkenaan pelaksanaan hak perlembagaan Sabah itu,” katanya.

Iklan

Ujarnya, resolusi tersebut turut memintanya untuk mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya AGC memfailkan rayuan.

“Selaku Presiden Parti UPKO, saya mempunyai tanggungjawab penuh terhadap resolusi-resolusi yang diputuskan melalui konvensyen seperti ini.

Iklan

“Perdana Menteri, timbalan-timbalan Perdana Menteri serta ahli-ahli Jemaah Menteri sudah pun maklum dengan pandangan saya agar AGC tidak memfailkan rayuan.

“Saya akan menegaskan pandangan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat minggu hadapan,” katanya.

Jelasnya lagi, sekiranya terdapat keputusan lain atau tindakan yang bercanggah dengan keputusan mahkamah tersebut, beliau tidak dapat memberikan sokongan dan memilih untuk bersolidariti dengan rakyat Sabah.

“Saya bersedia mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya itulah yang berlaku, sesuai dengan kehendak ahli-ahli UPKO,” katanya.