PASIR GUDANG – Jenazah pelajar Universiti Malaya (UM) yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga kolej kediamannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Cahaya Masai, di sini, jam 6.20 petang pada Sabtu.
Jenazah Allahyarham Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, pelajar tahun akhir Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam UM tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 5.45 petang.
Dianggarkan kira-kira 100 orang ahli keluarga dan rakan-rakan dari UM hadir memberikan penghormatan terakhir.
Sebelum itu, jenazah disolatkan sekitar jam 9.50 pagi di Surau Ad-Deeniah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Solat jenazah ke atas Allahyarham dihadiri oleh rakan-rakan, ahli keluarga serta pensyarah yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Sebaik sahaja upacara pengebumian selesai, hujan renyai turun seolah-olah menangisi pemergian Allahyarham menambah suasana sayu di tanah perkuburan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa pelajar terbabit meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kediamannya di Universiti Malaya pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, bedah siasat dijalankan di Bilik Bedah Siasat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) antara jam 10 malam hingga jam 3 pagi.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
Ujarnya, mangsa juga didapati mengalami kecederaan di bahagian dada, selain tiada kesan jerutan atau sebarang unsur jenayah.